KUALA LUMPUR, 9 Nov – Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mendakwa serangan ke atas beliau berhubung Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) adalah satu agenda politik pembangkang yang mahu memusnahkan Pergerakan Wanita Umno.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu berkata, keluarga beliau, yang mengendalikan projek ternakan lembu tidak wajar menerima kritikan dan kecaman buruk yang dilemparkan oleh pembangkang sebab “mereka memang bekerja keras.”
“Ini adalah agenda politik oleh pembangkang untuk melemahkan Wanita Umno. Tetapi kami bukan begitu mudah untuk dimusnahkan,” kata Ketua Wanita Umno ini.
“Saya rasa malu ada seorang wanita rakyat Malaysia seperti Ketua Wanita PKR,” kata senator ini dengan merujuk kepada Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin yang sebelum ini mendakwa projek NFC gagal meskipun diberi pinjaman mudah RM250 juta dan tanah seluas 5,000 ekar.
“Mereka (pembangkang) bukan minat sangat dengan NFC. Itu memang diarahkan kepada saya, selaku ketua Wanita Umno, dan juga pengerusi Wanita BN,” kata Shahrizat (gambar) lagi.
Shahrizat berkata keluarganya tidak sepatutnya dilayan sedemikian dengan apa yang dikatakan oleh pembangkang.
“Menteri sudah jawab dan saya gembira kerana kementerian akan pantau kejayaan projek itu. Saya dah lama dalam politik,” tambah beliau lagi.
Dalam pada itu, Pemuda Umno pula menyifatkan tuduhan pihak pembangkang berhubung NFC adalah liar demi menagih perhatian umum bagi menutup kepincangan pembangkang yang kini terumbang-ambing menghadapi pilihan raya umum.
Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata, dakwaan bahawa NFC telah menyalurkan wang sejumlah RM81.2 juta kepada National Livestock & Meat Corporation Sdn Bhd (NLMC), syarikat sekutu NFC dan memberi diskaun hampir RM3 juta kepada sebuah lagi syarikat sekutu Real Food Company Sdn Bhd (RFC) adalah tidak benar.
“Tuduhan yang dibuat ada banyak kelemahan dari segi fakta, hujah dan dasar kerana tidak membawa apa-apa kebenaran di mana saya sendiri telah membuat penyelidikan yang dibuat melalui laman web dan temu ramah dengan pihak berkaitan.
“RM81.2 juta itu bukan sahaja bertujuan menghasilkan daging mentah tetapi juga untuk membina kemampuan dari aspek pemasaran, perancangan operasi, kewangan, perancangan organisasi dan pengurusan sumber manusia,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, demikian menurut laporan Bernama Online.
Katanya, NLMC juga dipertanggungjawabkan untuk membina rangkaian penawaran, membina pasaran untuk produk fidlot serta membeli hasil dari ladang satelit.
“Ia juga berperanan untuk memajukan operasi sistem lojistik dan penghantaran serta membina pasaran bagi produk Pusat Fidlot Nasional sebagai pengeluar daging yang konsisten dan berkualiti tinggi di dalam proses persediaan untuk Program Pembangunan Usahawan,” katanya.
Manakala berhubung dengan dakwaaan tentang pemberian diskaun, anggota Parlimen Rembau itu berkata RFC berperanan sebagai pengedar daging keluaran NFC dan diskaun yang diberi itu kemudiannya disalurkan kepada kesemua pembeli-pembeli daging.
“Ini termasuklah hypermarket besar di negara ini seperti Jusco, Carrefour, Cold Storage dan Giant, pasar-pasar tani di seluruh negara dan juga pasaran ‘hotel-restaurant-catering’,” katanya lagi.
Semalam, Pengarah Strategik PKR Rafizi Ramli mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar berbohong kepada Dewan Rakyat berhubung kenyataan mereka mengenai pinjaman mudah yang diberikan kepada NFC.
Katanya, keseluruhan pinjaman mudah dan pemberian geran berjumlah lebih RM256 juta telah dikeluarkan oleh syarikat penternakan lembu yang dimiliki oleh suami dan anak-anak seorang menteri Kabinet itu.
Kata beliau, keseluruhan jumlah dana tersebut sebenarnya telah disalurkan sepenuhnya ke dalam akaun NFC menjelang 31 Mac 2009.
Rekod kewangan NFC menunjukkan pinjaman pertama sejumlah RM130 juta telah diambil dalam 2008.
Katanya, pada 31 Mac 2009, NFC telah mengambil pinjaman kedua berjumlah RM220 juta yang terus dimasukkan ke akaun Maybank milik NFC dan 6 Mei 2009 NFC memindahkan wang dari pinjaman ini berjumlah RM116 juta ke dalam akaun deposit tetap milik NFC di Public Bank Berhad.






