Bahasa

Nik Aziz kekal sebagai MB Kelantan jika Pakatan menang

KUALA LUMPUR, 9 April — Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar) akan mempertahankan semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Cempaka dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) sekaligus membayangkan pemimpin veteran itu akan kekal sebagai Menteri Besar.

Perkara itu disahkan Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali kepada pemberita selepas pengumuman calon tertinggi parti Islam itu untuk bertanding dalam PRU 13 di Ibu Pejabat PAS hari ini.“Ya ... (beliau) kekal, kawasan dia memang Cempaka,” katanya, ketika diminta mengulas kedudukan Nik Aziz dalam Pilihan Raya 2013 kali ini.

Nik Aziz, 82, dijangka akan kekal sebagai menteri besar sekiranya pembangkang itu berjaya mengekalkan kekuasaan mereka di Kelantan.

Selain Nik Aziz, turut kekal di kawasan masing-masing adalah Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Marang dan Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar yang turut akan mempertahankan kerusi Parlimen Pokok Sena.

Sementara dua naib presiden lain, Salahuddin Ayub dan Datuk Husam Musa masing-masing akan berpindah ke kawasan kubu kuat Barisan Nasional (BN) iaitu Parlimen Pulai dan Putrajaya.

PAS dalam pengumuman calon parlimen mereka yang dibuat Abdul Hadi di Ibu Pejabat PAS turut mengemukakan muka baru iaitu bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Datuk Fauzi Shaari akan bertanding di Parlimen Larut, dan arkitek, Datuk Raja Baharin Raja Ahmad akan bertanding di Kuala Terengganu, serta penyanyi, Wan Aishah Wan Ariffin akan bertanding di Jempol.

Mengulas berkenaan pertindihan kerusi antara PAS dan parti komponen Pakatan Rakyat, Musatafa menjelaskan, PAS telah sepakat untuk menyerahkan kerusi Setiawangsa mereka kepada PKR.

“Selesai dah ... Setiawangsa PKR punya, Labuan kekal kita punya,” katanya kepada pemberita.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.