Nirmala Bonat: Mahkamah padam beberapa perenggan dan ayat dalam alasan penghakiman
PUTRAJAYA, 29 Jun — Mahkamah Rayuan hari ini memadamkan beberapa perenggan dan komen oleh hakim Mahkamah Tinggi dalam alas an penghakimannya berhubung kes seorang suri rumah yang disabitkan kesalahan menyebabkan kecederaan bekas pembantu rumah, Nirmala Bonat.
Dalam memutuskan demikian, Hakim Datuk Clement Allan Skinner, yang mengetuai panel tiga hakim, berkata mahkamah mendapati perenggan dan ayat yang dipersoalkan itu tidak wajar.
Panel yang dianggotai oleh Hakim Datuk Linton Albert dan Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim, memadamkan dua perenggan dan empat ayat yang terkandung dalam alasan penghakiman oleh Hakim Azman Abdullah.
Yim Pek Ha, 44, telah memohon 11 perenggan dipadamkan daripada rekod rayuan.
Panel tersebut membuat keputusan itu selepas mendengar penghujahan oleh Timbalan Pendakwa Raya Tetralina Ahmed Fauzi dan hujahan balas oleh peguam Yim, Datuk Jagjit Singh dan Akhbardin Abdul Kader.
Hakim Skinner kemudian menetapkan 14 September ini bagi mendengar rayuan Yim serta rayuan balas oleh pihak pendakwaan.
Yim didakwa atas empat tuduhan menyebabkan kecederaan parah ke atas pembantu rumahnya dari Indonesia itu dengan menggunakan seterika, air panas dan cawan besi antara Januari, Mac dan April 2004 di apartmennya di Villa Putera, Jalan Tun Ismal, Kuala Lumpur.
Selepas perbicraan, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 27 November 2008, menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun terhadap Yim bagi setiap tiga tuduhan.
Bagaimanapun, wanita berusia 43 tahun itu dibebaskan daripada tuduhan keempat iaitu menyebabkan kecederaan parah terhadap Nirmala Bonat dengan menggunakan cawan besi.
Selepas rayuan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hukuman penjara terhadap Yim dikurangkan kepada 12 tahun. — Bernama




