7-day Archive: 
The Malaysian Insider

Bahasa

No 2 Pemuda PKR: Buktikan angkat sumpah Eskay upacara keagamaan

TERKINI @ 04:39:13 PM 18-05-2011
May 18, 2011

KUALA LUMPUR, 18 Mei — Khairul Anuar Ahmad Zainudin dari PKR mempersoalkan siasatan pihak polis di bawah Seksyen 296 Kanun Keseksaan, berhubung insiden kekecohan ketika Datuk Shazryl Eskay Abdullah mengangkat sumpah laknat di Masjid Amru Al-As Bandar Baru Sentul, tiga minggu lalu.

Justeru, Timbalan Angkatan Muda Keadilan (AMK) itu mencabar siapa yang boleh mengesahkan angkat sumpah itu “Datuk T” itu sebagai upacara keagamaan.

“Pihak polis telah beritahu bahawa siasatan dibuka di bawah Seksyen 296.

“Kami telah pun memberi keterangan. Tetapi di sini, saya ingin persoalkan beberapa perkara... kalau benar siasatan ini dibuka di bawah Seksyen 296, siapa yang boleh sahkan upacara itu (angkat sumpah) sebagai upacara keagamaan?” kata beliau pada sidang media di sini hari ini.

Beliau juga memberitahu, enam soalan yang telah dikemukakan oleh pegawai penyiasat ASP Ramlan Mat Darus.

Antaranya, adakah beliau terdengar laungan tolak sumpah laknat dan adakah beliau terlibat dalam membuat kekecohan pada hari tersebut.

Khairul turut berkata beliau kecewa dengan tindakan pihak polis yang dilihat umpama ‘pengurus majlis’ pada hari angkat sumpah tersebut.

“Kalau kita lihat, ramai pihak polis pada hari tersebut. (Ia) seolah-olah pihak polis ini menjadi pengurus majlis pada hari tersebut.

“Polis sepatutnya mencari suspek simbah asid daripada menjadi alat pihak-pihak tertentu,” katanya.

Pada 12 Mei lalu, Timbalan Ketua Penerangannya, Rozan Azen Mat Rasip dipanggil polis memberi keterangan.

Khairul yang turut dikenali sebagai “Jonah” hadir di balai polis Wangsa Maju kira-kira 12.30 tengah hari ini dengan ditemani Ketua AMK Wilayah Persekutuan, Mohammad Hamdi Mohd Said.

Hamdi turut disiasat hari ini.

Wujud kekecohan ketika Eskay mengangkat sumpah laknat yang mempertontonkan video seks yang si pelakunya didakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim, 29 April lalu.