Bahasa

Nor Mohamed: FDI Malaysia tidak terjejas oleh pencerobohan di Sabah

KUALA LUMPUR, 14 Mac — Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, yakin pencerobohan oleh pengganas Sulu di Lahad Datu tidak akan mendatangkan kesan negatif terhadap pelaburan langsung asing (FDI) negara ini.

Nor Mohamed (gambar), yang mengetuai Unit Perancang Ekonomi (EPU), berkata tindakan pantas dan positif yang diambil oleh kerajaan akan memberikan lebih keyakinan kepada pelabur, terutamanya pelabur asing, untuk melabur di negara ini.

“Ia tidak memberi kesan negatif, sebaliknya saya rasa cara kerajaan menangani situasi di Lahad Datu, Sabah, akan memberikan lebih keyakinan kepada pelabur untuk melabur di sini,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan biasiswa Peneraju Tunas Iltizam di sini hari ini.

Beliau berkata ternyata bahawa kerajaan berjaya menangani situasi itu dengan baik dan mengurangkan jumlah mereka yang terkorban apabila situasi menjadi sengit di Sabah.

“Kita rasa sedih dengan apa yang berlaku di Sabah dan saya percaya pelabur-pelabur, khususnya pelabur asing, akan lebih yakin terhadap kerajaan yang ada sekarang selepas situasi di Sabah itu,” tegas beliau.

Bagaimanapun, Nor Mohamed berkata pelabur-pelabur tidak akan terpengaruh dengan reaksi pembangkang terhadap keadaan di Sabah itu.

“Saya percaya, pelabur-pelabur akan melihat kepada kemampuan dan kematangan kerajaan, bukan hanya dakwaan oleh pembangkang,” katanya.

Pada 5 Mac, pasukan keselamatan Malaysia melancarkan serangan “Operasi Daulat” selepas pengganas Sulu membunuh lapan anggota polis — dua di Kampung Tanduo dekat Lahad Datu pada 1 Mac, dan enam di Kampung Simunul di Semporna keesokan harinya.

Pengganas-pengganas itu telah bersembunyi di Kampung Tanduo sejak 12 Feb dan tidak menghiraukan usaha kerajaan untuk berunding agar mereka menyerah diri.

Setakat ini, 10 anggota pasukan keselamatan telah ditembak mati dan kira-kira 100 orang ditahan kerana disyaki ada kaitan dengan pengganas itu. — Bernama

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.