MELAKA, 8 Okt — Kerajaan Melaka memberikan penghormatan tertinggi kepada jurukamera Bernama TV Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor menerusi anugerah Bintang Gagah Perkasa (BGP) sempena ulang tahun ke-73 Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Khalil Yaakob hari ini.
Allahyarham yang terkorban ketika menyertai misi kemanusiaan di Somalia pada 2 September lalu adalah penerima pertama anugerah yang diperkenalkan pada 1978 itu.
Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Wira Omar Kaseh berkata anugerah itu diperkenalkan khusus untuk anggota tentera dan polis namun tidak pernah ada penerima.
“Anugerah BGP ini bagi mengenang jasa Noramfaizul (gambar) yang terkorban sebagai wira negara sewaktu misi kemanusiaan dan kami amat menghargai jasa Allahyarham,” katanya dipetik Bernama Online.
Allahyarham juga penerima tunggal anugerah itu pada sambutan kali ini.
Noramfaizul, 39, yang menaiki kenderaan pacuan empat roda terbunuh akibat terkena tembakan curi ketika dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan semasa menyertai Misi Bantuan Kemanusiaan Kelab Putera 1 Malaysia di negara bergolak itu.






