Bahasa

Nur Jazlan tidak gentar berhadapan Salahuddin Ayub dalam PRU13

February 22, 2013

KUALA LUMPUR, 22 Feb — Ahli Parlimen Pulai Datuk Nur Jazlan Mohamed  mengakui tidak gentar untuk berhadapan dengan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub sekiranya ahli parlimen Kubang Kerian itu berhasrat untuk bertanding di kerusi parlimen berkenaan pada pilihan raya umum (PRU) ke 13 nanti.

Beliau yang sudah dua penggal dipilih sebagai ahli parlimen Pulai, tidak bimbang untuk berhadapan dengan Salahuddin pada Pilihan Raya 2013.

“Saya dan Salahuddin tiada masalah di Parlimen...beliau  kawan saya, jika benar beliau mahu bertanding di kerusi parlimen Pulai, saya mengalu-alukan beliau untuk datang ke  sini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Sebenarnya, ia satu penghormatan kepada saya jika Salahuddin memilih untuk bertanding di parlimen Pulai memandangkan beliau adalah anak kelahiran Pontian tapi mungkin beliau tidak yakin bertanding di sana, jadi memilih untuk bertanding di kerusi parlimen Pulai.

“Pada masa sama, Salahuddin  adalah naib presiden PAS dan mahu bertanding dengan seorang Ketua Umno bahagian biasa, jadi sudah pasti ia satu pertandingan yang amat menarik...tapi jangan anggap beliau akan mendapat laluan mudah di Pulai.”

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai desas desus bahawa Salahuddin akan bertanding kerusi Parlimen Pulai (P161) pada PRU 13.

Dalam PRU 12 pada 2008, Nur Jazlan mengalahkan calon PAS, Abdullah Ideris dengan majoriti 20,449 undi manakala pada 2004, ketika kali pertama bertanding beliau mengalahkan calon dari PKR, Md Nasir Ab Wahab dengan majoriti 34,926 undi.

Nur Jazlan berkata, faktor pengundi bukan Melayu yang kini melebihi pengundi Melayu berkemungkinan tarikan utama Salahuddin untuk bertanding di kerusi parlimen Pulai.

Katanya, berdasarkan warta terkini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), jumlah pengundi Parlimen Pulai kini berjumlah 99,542 dengan Melayu 48 peratus; Cina, 41  peratus; India, 10 peratus dan Lain-lain, satu peratus.

“Seorang pemimpin PAS pusat yang perjuangan parti berkenaan untuk membentuk sebuah negara Islam yakin menarik undi daripada kaum Cina di parlimen Pulai, sesuatu yang amat bertentangan dengan apa yang dimahukan pengundi Cina di sini,” katanya.

Beliau bagaimanapun, mengakui bahawa Salahuddin sudah memulakan gerak kerja untuk bertanding di  Pulai dengan turut membuka bilik gerakan selain menghadiri pelbagai program yang diatur PAS Pulai.

“Tiada masalah, siapa pun yang bertanding di parlimen Pulai, saya yakin pengundi parlimen Pulai mengetahui apa yang sudah saya lakukan selama dua penggal menjadi ahli parlimen mereka.

“Sebenarnya, tiada masalah besar di parlimen Pulai, kerajaan Barisan Nasional (BN) sudah berjaya menyelesaikan banyak permasalahan penduduk...kini fokus utama kita adalah perumahan awam bagi penduduk kurang berkemampuan dan golongan pertengahan,” katanya.

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi