Bahasa

Nurul Izzah akan cabar larangan memasuki Sabah di mahkamah

Oleh Mohd Farhan Darwis

May 31, 2013

Nurul Izzah tiba di Lapangan Terbang Kota Kinabalu pada petang Khamis bagi tujuan menyambut Pesta Kaamatan. - Gambar failNurul Izzah tiba di Lapangan Terbang Kota Kinabalu pada petang Khamis bagi tujuan menyambut Pesta Kaamatan. - Gambar fail

PETALING JAYA, 31 Mei — Menyifatkan tindakan menghalangnya memasuki Sabah sebagai “penahanan anti demokratik”, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar akan mengambil tindakan perundangan terhadap kerajaan negeri barisan nasional (BN) Sabah atas tindakan mereka di mahkamah.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu bagaimanapun menegaskan, beliau tidak mempersoalkan undang-undang di negeri Borneo berkenaan, sebaliknya hanya menuntut kerajaan pimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman mengemukakan sebab-sebab kukuh larangan yang dikenakan terhadapnya.

“Sekiranya saya dianggap mengancam keselamatan warga Sabah, maka kemukakan rasional serta penjelasan atas dakwaan tersebut,” katanya kepada pemberita ketika sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini.

“Sebagai seorang Ahli Parlimen Malaysia, dan warganegara Malaysia, tindakan menyekat kemasukan yang tidak rasional dan bersebab ini merupakan salah guna kuasa yang melampau dan cukup anti-demokratik,” tegasnya lagi.

Beliau yang tiba di Lapangan Terbang Kota Kinabalu pada petang Khamis bagi tujuan menyambut Pesta Kaamatan telah ditahan dan seterusnya dihantar pulang ke Semenanjung.

Pemimpin muda Pakatan Rakyat (PR) itu juga tidak menolak kemungkinan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim turut dihalang daripada memasuki negeri berkenaan.

“Atas sebab kerahsiaan, permintaan saya untuk mendapatkan nama-nama pemimpin PR lain yang dihalang tidak dibenarkan.

“Saya percaya Datuk Seri Anwar Ibrahim juga akan dihalang memasuki Sabah,” katanya kepada pemberita.

“Saya sudah berbincang dengan YB Darrell Leiking, ahli Parlimen Penampang untuk ambil tindakan undang-undang terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman di Kota Kinabalu,” katanya, dan menambah,”sampai bila saya dilarang?”

Beliau menegaskan, PKR juga akan menghantar surat rasmi kepada Pejabat Ketua Menteri Sabah bagi menuntut penjelasan dan menggesa mereka kemuka kepada umum senarai nama pemimpin PR yang dihalang, supaya rakyat tahu apa sebabnya mereka mengancam keselamatan Sabah.

Insiden berkenaan turut mendapat reaksi negatif daripada pemimpin Barisan Nasional (BN) Sabah, iaitu ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Mokhtar Radin, yang menganggap keputusan kerajaan negeri perlu diubah segera sekiranya tiada alasan kukuh untuk mereka melakukan sedemikian.

“Jika tiada alasan kukuh untuk sekatan ke atas Nurul, dan menjadi yang benar-benar adil dan memberikan keadilan, keputusan itu harus diubah segera,” kata ahli majlis tertinggi Umno itu dipetik The Star Online.

Beliau meminta supaya rakyat diberikan penjelasan daripada kerajaan negeri Sabah mengenai kenapa Ahli Parlimen Lembah Pantai itu dihalang masuk pada petang Khamis.

“Pihak berkuasa perlu mengeluarkan kenyataan yang kukuh dan diterima.

“Saya tidak melihat Nurul sebagai satu ancaman kepada negeri Sabah atau pun rakyat Sabah,” kata Bung.

Nurul Izzah turut melahirkan kekecewaan dan menggesa isu keselamatan negara dan persempadanan tidak boleh sama sekali dipolitikkan.

“Malang, tindakan menghalang saya daripada masuk ke Negeri di Bawah Bayu ini berlaku di kala Sabah berhadapan dengan kebolosan sempadan - termasuklah pengeluaran kad pengenalan secara haram seperti yang sedang disiasat oleh Suruhanjaya Siasatan DiRaja Sabah.

“Seharusnya tumpuan kerajaan negeri adalah mengawal selia masalah kebolosan yang mendesak ini, bukan menyalahgunakan kuasa dengan menafikan hak demokrasi dan aktiviti politik pimpinan Pakatan Rakyat demi mempertahan kedudukan Umno mahupun BN.”

Justeru itu, jelas beliau isu keselamatan dan kedaulatan negara sepatutnya tidak diperlekehkan dengan menjadikan ia alat politik menindas rakyat.

 

 

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi