Bahasa

Nurul Izzah serahkan transkrip ucapan forum kepada Jais, saman terhadap akhbar diteruskan

Oleh Amin Iskandar
Penolong Pengarang Berita

November 09, 2012
Latest Update: November 10, 2012 12:39 am

SHAH ALAM, 9 Nov — Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar bertemu dengan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Marzuki Hussin untuk memberikan penjelasan dan menyerahkan transkrip ucapannya berhubung dengan forum yang menjadi kontroversi kerana dikatakan beliau menyokong kebebasan beragama termasuk kepada orang Melayu-Islam di negara ini.

Nurul Izzah Anwar di pejabat Jais Shah Alam untuk member kenyataan mengenai forum Sabtu lepas, 9 November 2012. — Gambar oleh Choo Choy MayNurul Izzah Anwar di pejabat Jais Shah Alam untuk member kenyataan mengenai forum Sabtu lepas, 9 November 2012. — Gambar oleh Choo Choy May“Saya telah memberikan aduan yang menyatakan penjelasan perkara sebenar kepada pengarah Jais, Datuk Marzuki.

“Dan Alhamdulillah Jais telah memberikan kerjasama yang baik,” katanya ketika ditemui oleh pemberita selepas bertemu dengan Jais.

Nurul Izzah ditemani oleh peguamnya, Fadlina Sidik bertemu dengan pengarah dan tiga orang penguatkuasa Jais turut menyatakan kerjasamanya kepada badan penguatkuasa Islam negeri Selangor tersebut.

Fadlina memberitahu pemberita bahawa saman terhadap akhbar Utusan Malaysia, Berita Harian dan beberapa blog akan tetap diteruskan kerana memutarbelitkan kenyataan beliau dalam sebuah forum minggu lalu.

Semalam, Naib Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), Datuk Zulkifli Noordin menyatakan kesediaannya untuk menyediakan peguam kepada Utusan Malaysia jika disaman oleh Nurul Izzah.

“Saya baru berbincang dengan peguam kanan untuk mempertahankan Utusan Malaysia jika disaman.

“Saya bersedia jadi peguam untuk Utusan Malaysia tanpa bayaran ... dan saya nak beritahu Anwar, Nurul Izzah, kamu akan terkejut beruk siapa yang akan pertahankan Utusan Malaysia,” katanya dalam forum anjuran Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) itu.

Jelasnya lagi, tindakan yang dibuatnya itu bukan hanya semata-mata mempertahankan media tersebut, sebaliknya bertujuan menyelamatkan dan mempertahankan masyarakat Melayu dan Islam kerana akhbar itu tegasnya menjadi lidah rasmi perjuangan mempertahankan Islam.

“Kami bukan mempertahankan Utusan Malaysia, kami mempertahankan Melayu, Islam,” katanya.

Dalam kiriman SMS kepada The Malaysian Insider sebentar tadi, Nurul Izzah menjelaskan selain daripada menyerahkan transkrip ucapannya kepada Jais, beliau turut membuat aduan kepada Jais terhadap manipulasi kenyataannya yang dilakukan oleh akhbar Utusan Malaysia, Berita Harian dan beberapa blog.

Kenyataan yang didakwa dibuat Nurul Izzah tentang kebebasan beragama termasuk kepada orang Melayu-Islam mendapat respon negatif pelbagai pihak.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah juga telah menyatakan rasa terkejut dengan kenyataan yang dibuat Nurul Izzah tersebut.

 

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi