Bahasa

OIC mengucapkan tahniah kepada Arab Saudi atas wanita dalam Majlis Shura

KUALA LUMPUR, 16 Jan — Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengucapkan tahniah kepada rakyat dan kerajaan Arab Saudi atas pelantikan 30 wanita dalam Majlis Shura, yang sekaligus menunjukkan sokongan Raja Abdullah Ibn Abdulaziz terhadap isu wanita di Arab Saudi.

“Penyertaan wanita dalam Majlis Shura itu merupakan sejarah dalam kemajuan kedudukan wanita, bukan hanya di peringkat nasional tetapi juga di peringkat serantau dan antarabangsa,” kata jurucakap OIC dalam kenyataan hari ini.

Pada 11 Jan, Raja Abdullah mengumumkan wanita boleh menjadi anggota Majlis Shura yang sebelum ini kesemua anggotanya adalah lelaki.

Dekri meminda dua artikel dalam undang-undang statut majlis itu — pengenalan  20 peratus kuota wanita dalam 150 anggota Majlis Shura, dan membenarkan 30 wanita menyertai persidangan perundingan.

Persidangan itu, yang anggotanya dilantik oleh raja, bertindak sebagai badan penasihat rasmi Arab Saudi. Ia boleh mencadangkan rangka undang-undang yang akan dibentang kepada raja.

Jurucakap OIC itu berkata pencapaian penting itu akan menyumbang kepada pembangunan lestari dan pembangunan rakyat Arab Saudi.

Beliau berkata inisiatif itu adalah sebahagian daripada Program Tindakan 10 Tahun OIC, yang digunapakai Sesi Luar Biasa Ketiga Sidang Kemuncak Islam di Mekah pada 2005, yang menyeru negara anggota melindungi hak-hak wanita dan menggalakkan penyertaan lebih besar wanita dalam semua aspek kehidupan.

Jurucakap itu turut menggesa negara anggota mengambil langkah-langkah releven untuk meningkatkan kedudukan wanita dalam dunia Islam.

Sementara itu, Konsul Jeneral Palestin menyatakan penghargaan beliau atas usaha yang dijalankan setiausaha agung OIC Ekmeleddin Ihsanoglu, dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin.

Konsul Jeneral Palestin Emad Shaath, menyampaikan penghargaan kepada Ihsanoglu dan berterima kasih kepada beliau kerana menggerakkan sokongan untuk mengundi keanggotaan Palestin pada Perhimpuan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unga) sebagai negara pemerhati. — Bernama

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.