Operator mesin didenda RM1,000 cederakan anak dan ugut isteri
KUALA LUMPUR, 5 Jun — Seorang operator mesin hari ini didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan iaitu sengaja mendatangkan kecederaan kepada anak perempuannya dan mengugut isteri.
Majistret Zulkifli Abdullah menjatuhkan hukuman denda RM500 bagi setiap pertuduhan terhadap Soo Yok Chai, 61, dan dipenjara 10 hari jika gagal membayar denda.
Soo yang bekerja di tapak pembinaan didakwa dengan sengaja mendatangkan cedera terhadap anaknya Soo Wai Kuan, 23, seorang pekerja salun rambut, di sebuah rumah, Blok 11, Taman Miharja, Cheras di sini pada 10 malam 31 Mei lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, Soo didakwa mengugut isterinya Lee Tai Thai, 52, seorang buruh sambilan, sehingga menyebabkan isterinya berasa takut.
Soo yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wong Chai Sia. — Bernama




