Bahasa

Orang muda muflis di kalangan Melayu paling tinggi

KUALA LUMPUR, 28 Okt — Jumlah pemuda berusia 34 tahun ke bawah di Malaysia yang diisytiharkan muflis meningkat hampir setiap tahun sejak tahun 2001 terutamanya dikalangan orang Melayu, kata Datuk Nadzim Johan. 

Setiausaha kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) itu dipetik berkata dalam akhbar Berita Harian, hampir 47 peratus daripada jumlah keseluruhan 4,568 kes baru pada suku tahun ini yang direkodkan di Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) adalah Melayu. 

“Aliran ini serius dan membimbangkan,” kata Syed Nadzim. 

Manakala kaum Cina pula mencatatkan kedudukan kedua tertinggi sebanyak 34 peratus, kaum India 9 peratus dan lain-lain kaum adalah 10 peratus. 

“Sesuatu perlu dilakukan segera untuk membendung masalah ini. Malah PPIM juga mahu Akta Kebangkrapan 1967 dan Kaedah Kebangkrapan 1969 dipinda kerana sudah lapuk dan tidak sesuai,” tambah beliau lagi. 

Berdasarkan statistik daripada MdI bermula daripada 2007, jumlah kes kebangkrapan yang dicatat ialah 13,238 disusuli peningkatan pada 2008 kepada 13,855 dan terus meningkat pada 2011 kepada 19,167. 

Selain itu, berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh MdI sebagai punca kepada pengisytiharan muflis ini sejak 2005 hingga Jun 2012 adalah disebabkan beberapa sebab, antaranya ialah sewa beli kenderaan sebanyak 25 peratus, keberhutangan lain sebanyak 21 peratus, pinjaman peribadi 13 peratus dan pinjaman perumahan 13 peratus serta lain-lain. 

Disamping itu, negeri yang paling mencatatkan banyak kes muflis sepert yang direkodkan MdI adalah Selangor dengan jumlah 1,053 kes atau 23.05 peratus daripada 4,568 kes keseluruhan suku tahun ini. 

“Statistik Jabatan Perangkaan yang kami peroleh menunjukkan nisbah muflis dengan penduduk di Selangor ialah 1:581, bermaksud seorang bagi setiap 581 penduduk di negeri itu diisytiharkan muflis,” tambah beliau lagi.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.