7-day Archive: 
The Malaysian Insider

Bahasa

Pak Lah: Garis panduan interaksi agama sangat perlu

February 21, 2012

KUALA LUMPUR, 21 Feb — Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Tun Abdullah Ahmad Badawi menegaskan garis panduan interaksi antara kaum dan agama adalah “sangat perlu” diwujudkan di negara ini bagi membolehkan rakyat menjalinkan hubungan yang baik sesama mereka.

Bekas perdana menteri itu berkata, perkara itu telah ditekankan beliau semasa memegang tampuk pemerintahan negara melalui konsep “Islam Hadhari” yang dianjurkannya.

“Garis panduan seperti itu sangat perlu sekali, kerana wujudnya interaksi yang maksimum antara masyarakat Islam dan bukan Islam di negara ini.

“Melalui garis panduan seperti itu, kita akan mampu untuk menjalinkan hubungan yang baik, sepertimana Islam Hadhari yang saya laksanakan dulu, ia tidak bertentangan dengan agama lain,” katanya.

Melalu garis panduan seperti itu, Abdullah (gambar) turut menjelaskan, terdapat banyak nilai yang boleh dipegang bersama antara masyarakat Islam dan bukan Islam.

“Dulu saya tekankan Islam Hadhari, di dalamnya merangkumi tatakelola kerajaan yang baik, perkara berkaitan keadilan untuk masyarakat minoriti, wanita, alam sekitar, dan banyak lagi perkara yang boleh dipegang bersama dan mengelakkan pertelingkahan antara agama,” katanya lagi.

Persatuan Ulama Malaysia (PUM) sebelum ini menjelaskan, mereka akan memperkenalkan satu garis panduan perhubungan antara kaum dan agama di negara ini memandangkan terdapat beberapa perkara dan insiden yang menyentuh sensitiviti masyarakat Islam dan bukan Islam di negara ini yang boleh menimbulkan masalah kepada masyarakat.

“Ada pihak yang ragu-ragu sekiranya masyarakat Islam lakukan sesuatu perkara kerana terdapat antara mereka yang mengalami masalah Islamophobia.

“Sehubungan itu, program-program pendekatan dan langkah-langkah yang membawa kepada perhubungan baik sesama Islam dan bukan Islam harus dilaksanakan,” katanya lagi.