Bahasa

Pak Lah harap calon dipilih dapat teruskan kesinambungan perjuangan

April 17, 2013

Abdullah mahu kesemua calon yang terpilih dapat bekerja bersama-sama untuk mempertahankan Kepala Batas iaitu kubu kuat Barisan Nasional. - Gambar failAbdullah mahu kesemua calon yang terpilih dapat bekerja bersama-sama untuk mempertahankan Kepala Batas iaitu kubu kuat Barisan Nasional. - Gambar failKEPALA BATAS, 17 April — Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan pemilihan calon bagi Parlimen Kepala Batas dan tiga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) merupakan kesinambungan dalam perjuangan politik.

Abdullah, yang juga Ketua Umno Bahagian Kepala Batas, juga mahu kesemua calon yang terpilih dapat bekerja bersama-sama untuk mempertahankan Kepala Batas iaitu kubu kuat Barisan Nasional (BN).

“Saya percaya mereka inilah yang akan jadi tenaga yang hebat untuk tingkatkan kemajuan di kawasan Kepala Batas. Mereka (calon yang dipilih) mempunyai kemampuan dari segi ilmu pengetahuan, pengalaman dan kesungguhan untuk bekerja atas nama negara kita dan penduduk di kawasan Kepala Batas,” katanya.

Beliau berkata demikian semalam ketika berucap pada majlis memperkenalkan calon yang akan bertanding di kawasan Parlimen Kepala batas dan tiga DUN iaitu Penaga, Bertam dan Pinang Tunggal.

Abdullah merupakan penyandang kerusi Parlimen Kepala Batas selama tujuh penggal sejak 1979. Pada 2008 beliau memenangi kerusi itu dengan memperoleh 23,445 undi mengalahkan calon PAS Subri Md Arshad dengan 12,199 undi.

Beliau tidak akan mempertahankan kerusi itu pada PRU kali ini dan digantikan oleh Ketua Penerangan Pemuda Umno Malaysia Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Selain Reezal, Umno turut mengetengahkan dua lagi muka baharu iaitu Mohd Zain Ahmad (DUN Penaga) dan Shariful Azhar Othaman (Bertam), manakala penyandang DUN Sungai Pinang Datuk Roslan Saidin dikekalkan untuk mempertahankan kerusi itu. – Bernama 

 

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi