Bahasa

Pak Lah tidak tahu tentang ‘Mahathirisme’

Oleh Nomy Nozwir
July 10, 2012

KUALA LUMPUR, 10 Julai — Bekas perdana menteri (PM) Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata, beliau tidak tahu apa itu “Mahathirisme” seperti yang dikatakan oleh pemimpin DAP Lim Kit Siang — dikomen oleh Tun Dr Mahathir dalam blognya, chedet.cc semalam.

Menurut Ahli Parlimen Kepala Batas itu, setiap orang ada caranya, jadi tidak wujud soal beliau menamatkan “Mahathirisme” kerana apa yang lebih penting adalah untuk mencapai visi Wawasan 2020.

“Semenjak saya jadi PM, saya menyatakan matlamat kita adalah mencapai Wawasan 2020,” kata beliau dalam sidang media selepas merasmikan acara Sambutan 20 Tahun Penubuhan IKIM di ibu pejabatnya di Jalan Duta, hari ini.

“Ini tak pernah saya lupakan.

“Semasa zaman dulu, kita utamakan perpaduan, kerana zaman itu kita ada keganasan komunis.

“Kemudian selepas aman, kita bina infrastruktur, pada masa saya, kita bina modal insan.

“ Tanpa ilmu pengetahuan tidak mungkin akan ada inovasi untuk kemajuan negara.

“Saya juga melihat pembinaan sekolah-sekolah, kolej dan universiti yang meningkat, jadi ini yang saya katakan pembangunan modal insane.”

Pengerusi IKIM itu juga berkata bahawa hubungan beliau dengan Dr Mahathir baik walaupun kadang-kala ada perbezaan pendapat.

“Masing-masinglah, saya adalah saya. Dia adalah dia,” kata bekas Presiden UMNO itu.

Ditanya tentang peluang UMNO dan BN dalam pilihan raya akan datang, beliau optimis bahawa UMNO akan memenangi pilihan raya nanti.

“Semua parti nak menang. Kita tengok sahajalah apa jadi nanti. Sebagai ahli UMNO saya nak UMNO dan BN menang,” kata bekas Pengerusi BN itu.

Sebelum itu Abdullah berkata, anak-anak tidak kira sama ada Islam atau bukan Islam haruslah diberi sukatan pelajaran yang sama agar dapat membentuk masyarakat yang saling memahami.

“IKIM akan terus menjelaskan kepada umum bahawa Islam adalah sistem hidup yang mendukung kebenaran, dinamik, toleran, muhibbah dan mempunyai nilai-nilai murni yang bercorak universal,” kata beliau.

“Kita akan terus menggalakkan ilmu, dalam masa sama kita akan menolak ideologi-ideologi yang tidak sesuai dengan masyarakat seperti komunisme, agar kita dapat membawa masyarakat kita untuk terus lebih maju lagi.”

Bicara web

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi