Bahasa

Pakatan akan ubah sistem media jika menang pilihan raya

Pemimpin Pakatan melafazkan ikrar semasa konvensyen Pakatan Rakyat di Pulau Pinang. — Gambar failPemimpin Pakatan melafazkan ikrar semasa konvensyen Pakatan Rakyat di Pulau Pinang. — Gambar fail

Dalam ucapan tentang manifesto pakatan tersebut di Konvensyen PR di Pulau Pinang semalam, pemimpin PAS Dr Dzulkefly Ahmad berkata ini adalah janji yang akan dilaksanakan selepas pilihan raya.

"Jika ditakdirkan Pakatan Rakyat berkuasa nanti langkah pertama yang saya akan pastikan ialah sistem medianya mesti telus dan dan mempunyai kredibiliti yang tinggi tidak seperti sekarang tidak amanah, menurunnya etika kewartawanan dan sukakan penyebaran fitnah," katanya yang dipetik dari Harakah Daily hari ini.

Ahli parlimen Kuala Selangor menambah PR tidak seharusnya mengekalkan sistem media yang ada, yang kini dikawal oleh kerajaan Barisan Nasional (BN), jika tidak rakyat akan menghukum pakatan tersebut kerana gagal dalam melaksanakan janjinya.
.
Beliau berkata sudah menjadi tuga parti-parti PR seperti PAS, PKR dan DAP memastikan kebebasan media, yang selama ini diingini kerana mendakwa selama 50 tahun dihentam oleh media dengan "penipuan".

Ahli jawatankuasa kerja PAS Pusat itu berkata "penipuan" mestilah dihentikan kerana kebanyakan orang Melayu mudah percaya apa yang dibawa mereka, sehingga yakin menjadi kewajipan untuk mengundi BN.

"Umno dan BN bukan parti yang kuat sebenarnya. Parti itu lemah, cuma kerana mereka menguasai media arus perdana apa yang ada dicakapkan itulah diulang tayang agar rakyat tetap dengan BN walaupun ianya karam di lautan," katanya yang dipetik dari Harakah Daily.

PR yang terdiri dari PKR, DAP dan PAS, dilihat mampu menumbangkan BN dari pemerintahan setengah abad di Malaysia yang akan melangsungkan pilihan raya 2013 selewat-lewatnya Jun ini.

Pakatan tersebut percaya sokongan bertambah berbanding pilihan raya 2008, di mana BN mengalami kekalahan teruk.

Dalam melancarkan manifesto bulan lalu, PR menjanjikan kepada pengundi dalam usaha meningkatkan pendapatan isi rumah kepada RM4,000 pada akhir pemerintahan pertamanya.

Pakatan tersebut berjanji akan menurunkan harga minyak dan tarif elektrik, menghapuskan tol, menurunkan harga kereta, pendidikan percuma, dan meningkatkan kadar kepada mereka yang dikenakan cukai dari mereka yang memperoleh RM250,000 setahun kepada RM400,000.

Pengarah strategi PKR Rafizi Ramli, yang mengumumkan manifesto tersebut berkata, PR fokus dalam meningkatkan pendapatan dengan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan berpendapatan tinggi.

"Kita mahu membaiki dan mengurangkan jurang pendapatan, bukan seperti di bawah Umno-Barisan Nasional (BN), yang miskin bertambah miskin, yang kaya bertambah kaya.

"Kerana cara mereka menguruskan ekonomi berdasarkan kaum, dengan cuba menyasarkan pendapatan ekuiti 30 peratus Bumiputera, sementara kita cuba membaiki pendapatan tidak mengira kaum," katanya lagi.

Rafizi juga menggariskan empat cara PR dalam menguruskan ekonomi, termasuk mencipta satu juta peluang pekerjaan dengan mengurangkan pergantungan tenaga asing secara berperingkat-peringkat, dan mencipta peluang ekonomi berlandaskan prinsip keadilan, melihat semula konsesi awam dan mengakhiri monopoli kerajaan, disamping mengubah sistem pendidikan.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.