Bahasa

Pakatan cadang pengurusan LTAT dirombak, naikkan caruman tentera

PETALING JAYA, 23 Jan — Pakatan Rakyat (PR) mencadangkan pengurusan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dirombak semula dengan meletakkan perwakilan dari tentera sebagai anggota terbanyak, disamping meningkatkan caruman yang disumbangkan kerajaan dari 20 peratus, berbanding 15 peratus setiap bulan sekarang.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keuntungan dan perolehan LTAT wajar diagihkan lebih adil, termasuk peruntukan skim mikrokredit khas anggota tentera bagi memastikan mereka mendapat perhatian selepas meninggalkan perkhidmatan.

“Peningkatan 5 peratus caruman ini perlu diuruskan secara berasingan dalam dana LTAT dan dikhususkan kepada program imbuhan berbentuk bantuan bulanan kepada bekas anggota tentera,” kata Anwar dalam sidang media di ibu pejabat PKR hari ini.

“Kerajaan Pakatan Rakyat wajar perkenalkan dividen khas kepada bekas anggota yang tidak berpencen dan hanya bergantung kepada keuntungan LTAT setiap tahun, dividen khas ini perlu bagi membantu anggota keselamatan yang tidak mempunyai pencen berhadapan dengan kenaikan kos sara hidup yang meruncing.”

Anwar (gambar) hari ini hadir bersama Leftanan Jeneral (B) Datuk Abdul Ghafir Abdul Hamid, bekas pegawai pemerintah batalion Malbat ke Namibia, yang berada di sidang media hari ini.

Abdul Ghafir, yang berkhidmat dalam perkhidmatan tentera selama 35 tahun, berkata kebajikan tentera perlu ditingkatkan terutamanya kediaman anggota tentera yang masih lagi ketinggalan.

“Kita tak boleh terima jika kediaman anggota tentera masih lagi di tahap negara dunia ketiga, bersebelahan dengan bangunan kediaman mewah di kawasan persekitarannya, kita perlu menjaga kebajikan anggota tentera,” kata Abdul Ghafir lagi.

Anwar berkata, PR menghargai peranan dan sumbangan anggota keselamatan negara yang pernah dan sedang berkhidmat, dan penghargaan ini hanya boleh ditunjukkan sekiranya kebebasan, kebajikan dan kemuliaan ATM dipertahankan.

“Apabila Umno menuduh kita menyerang tulang belakang Melayu, terutamanya institusi tentera, sebenarnya kita mahu memperkukuhkan mereka.

“Skandal-skandal yang membabitkan pembelian dan pensenjataan dan ia melibatkan rasuah, ia sebenarnya mengkhianati pengorbanan angkatan tentera,” kata Anwar lagi.

Isu penyelewengan dan rasuah melibatkan institusi tentera semakin mendapat perhatian, memandangkan undi tentera dilihat sebagai “simpanan tetap” bagi Barisan Nasional (BN) dalam memenangi pilihan raya akan datang.

Melihat kepada perubahan sistem pengundian bagi tentera dari sistem undi pos kepada pengundian awal, PR melihat ini sebagai satu peluang untuk mendapatkan undi dari anggota keselamatan dalam usaha untuk mereka ke Putrajaya.

Isu-isu seperti pembayaran komisen yang tinggi dalam membeli kapal selam Perancis, Scorpene, disamping penyelewengan dana untuk projek Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas) disamping kebajikan tentera, sama ada yang masih berkhidmat atau sudah bersara menjadi isu utama dalam percubaan memenangi undi tentera dalam pilihan raya.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.