Bahasa

Pakatan janjikan 10 menteri wanita di bawah pemerintahannya

Pakatan janjikan 10 menteri wanita jika menang PRU13. — Gambar oleh Saw Siow FengPakatan janjikan 10 menteri wanita jika menang PRU13. — Gambar oleh Saw Siow FengPETALING JAYA, 24 Feb — Pakatan Rakyat (PR) akan melantik sekurang-kurangnya 10 menteri wanita berdasarkan daripada 30 peratus kuota wanita sekiranya berjaya menawan Putrajaya pada Pilihan Raya 2013 kata Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin baru-baru ini. 

Zuraida memberitahu, PR akan melaksanakan kuota tersebut disemua peringkat — termasuk dalam 33 jawatan kementerian, wakil di parlimen dan lembaga pengarah korporat — satu langkah untuk memenangi undi wanita yang berjumlah 49 peratus daripada 13.3 juta pengundi. 

“Pakatan komited untuk melaksanakan 30 peratus disemua peringkat,” kata Zuraida dalam satu wawancara bersama The Malaysian Insider di ibu pejabat PKR Khamis lalu. 

“Kuota ini langkah sementara,” tegas beliau apabila ditanya jika polisi tersebut menghina kemampuan wanita. 

Penganalisis mengatakan pengundi atas pagar wanita akan menentukan keputusan Pilihan Raya 2013 yang dijangka akan menjadi perlawanan sengit. 

Zuraida memberitahu, pada masa ini, PR mempunyai sembilan orang anggota parlimen wanita, termasuk dirisnya, layak untuk mengisi mana-mana jawatan menteri. Empat dari DAP, tiga dari PKR dan dua dari PAS. 

Selain Zuraida yang merupakan anggota parlimen Ampang, mereka adalah Chong Eng (DAP — Bukit Mertajam) Fong Po Kuan (DAP — Batu Gajah), Teo Nie Ching (DAP — Serdang), Teresa Kok (DAP — Seputeh), Fuziah Salleh (PKR — Kuantan), Nurul Izzah Anwar (PKR — Lembah Pantai), Siti Zailah Mohd Yusof (PAS — Rantau Panjang), dan Dr Siti Mariah Mahmud (PAS — Kota Raja). 

Kerusi parlimen titiwangsa terbiar kosong selepas Dr Lo’ Lo’ Mohd Ghazali meninggal dunia akibat penyakit barah pada 2011. 

Terdapat 13 anggota parlimen wanita dari Barisan Nasional (BN). 

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah melantik hanya dua orang menteri wanita daripada 30 menteri selepas mengambil alih kuasa iaitu Datuk Seri Ng Yen Yen dari MCA sebagai menteri pelancongan dan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dari Umno sebagai menteri wanita, keluarga dan pembangunan masyarakat. 

Najib mengambil alih jawatan Shahrizat tahun lalu, selepas jawatan senatornya tidak diperbaharui akibat daripada skandal penternakkan lembu. 

Menurut statistik daripada Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, hanya 10.4 peratus dari 222 anggota parlimen dan lapan peratus daripada 576 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di seluruh negara adalah wanita. 

Zuraida mengatakan kerajaan PR akan turut melaksanakan kuota gender bagi memastikan 30 peratus perwakilan wanita dalam Parlimen, sepertimana dokumen Platform Beijing untuk Tindakan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengatakan keperluan untuk mencerminkan keperluan dan kebimbangan semua orang dalam sesebuah negara. 

Pengarah eksekutif Wanita PBB Michelle Bachelet mengatakan Disember lalu kuota diperlukan untuk mempromosikan pengelibatan wanita dalam politik sambil memberitahu hanya satu daripada lima anggota parlimen di dunia adalah wanita. 

Daripada 33 negara dengan 30 peratus atau lebih anggota parlimen wanita, hanya 28 mempunyai kuota, kata Bachelet. 

Zuraida bagaimanapun mengakui, PR sukar untuk mencari cukup calon wanita untuk diletakkan sebagai calon dalam pilihan raya akan datang bagi memenuhi kuota 30 peratus, mengatakan PR hanya berjaya mendapatkan 20 peratus. 

“Wanita masih lagi berfahaman politik bukan bidang mereka, sebagai sesuatu yang kotor. Sebagai ahli politik, kita bertugas berkhidmat untuk rakyat, untuk menjadi wakil kepada rakyat,” katanya. 

Zuraida mengatakan PR bercadang untuk meletakkan lebih kurang 30 peratus calon wanita di kerusi parlimen dan DUN di Selangor dan Sabah, sekurang-kurang dua calon wanita di negeri lain. 

Wanita akan diletakkan sekurang-kurangnya 15 daripada jumlah 25 kerusi parlimen dan 60 kerusi DUN di Sabah, serta sekurang-kurangnya 14 daripada 22 daripada kerusi parlimen dan enam daripada 56 kerusi DUN di Selangor. 

Penyandang wanita PR akan mempertahankan kerusi mereka, manakala kebanyakan calon-calon baru wanita akan terdiri daripada golongan profesional muda, kata Zuraida. 

Zuraida menambah bahawa PR akan meningkatkan kesedaran politik di kalangan wanita dengan menubuhkan sekurang-kurangnya satu Pusat Memperkasakan Wanita di setiap kawasan parlimen. 

“Akan ada program rakyat seperti latihan ekonomi, perniagaan, program kesedaran kewangan dan politik, dan unit keselamatan sosial, di mana kita mahu wanita membentuk unit-unit sokongan di kawasan masing-masing (untuk berkongsi isu-isu) seperti masalah keluarga,” kata Zuraida, menunjukkan terdapat 56 pusat sedemikian di Selangor kini. 

“Selepas PRU 13, saya percaya kita akan ada lebih (calon wanita),” tambah beliau. 

Najib mengumumkan sektor korporat perlu mempunyai sekurang-kurangnya 30 peratus wakil wanita dalam lembaga pengarah menjelang 2016. 

Beliau mengatakan langkah tersebut adalah kesinambungan kepada polisi kerajaan pada 2004 bagi sektor awam yang menyaksikan peningkatan pengelibatan wanita dari 18.8 peratus pada tahun tersebut kepada 32.3 pada 2011. 

Walau bagaimanapun, pada 2010, hanya 13 peratus, atau 91 wanita, dilantik sebagai ahli lembaga pengarah dalam Perbadanan Kementerian Kewangan, dimana 200 syarikat tersenarai di Bursa Malaysia, hanya 7.6 peratus wanita dalam lembaga pengarah pada November 2010 dan enam peratus dalam institusi kewangan pada April 2012. 

Kumpulan wanita mengalu-alukan pengumuman Najib, akan tetapi majikan tidak bersetuju dengan polisi tersebut mengatakan semua jawatan seharusnya diperolehi dengan merit.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.