Bahasa

Pakatan jual harta milik Selangor, kata Abdul Shukur

KUALA LUMPUR, 30 Nov — Perwakilan Umno dari Selangor hari ini mendakwa Pakatan Rakyat (PR) menjual harta milik kerajaan negeri, dalam perbahasan ucapan dasar presiden Perhimpunan Agung Umno ke 66 hari ini .

Abdul Shukur Idrus dari Umno Selayang yang mewakili negeri Selangor itu berkata, beberapa harta milik kerajaan negeri seperti SACC Mall, Menara PKNS di Petaling Jaya, Kompleks PKNS Bangi dan Shah Alam serta Wisma Yakin akan dijual oleh kerajaan pimpinan PR.

“Mereka bersungguh-sungguh untuk menjual aset kerajaan negeri.

“Harta negeri dijual tetapi tidak diganti. Jika kita hilang kuasa, kita hilang segalanya,” kata Abdul Shukur semasa membahaskan ucapan presiden pagi ini.

Abdul Shukur berkata, pada pemerintahan Barisan Nasional (BN) di Selangor dahulu, Umno membina beratus dewan serbaguna untuk kegunaan rakyat, tetapi kerajaan Pakatan menghalang dewan-dewan ini dari digunakan.

“Dahulu ketika BN memerintah Selangor, kita membina beratus-ratus dewan serbaguna untuk kegunaan rakyat.

“Tetapi hari ini kita terpaksa membayar sewa penuh berjumlah RM10,000, ketika saya mahu mengadakan perjumpaan Umno Selayang pada September lalu.

“Ternyata pakatan pembangkang ini sombong dan mendabik dada,” kata Abdul Shukur lagi.

Abdul Shukur yang merupakan ahli dewan undangan negeri Kuang berkata, kerajaan Pakatan juga menjual asrama Tuanku Nurashikin di Kampung Pandan, tetapi tidak diganti yang baru.

“Habis segala harta benda nak dijual, mereka tidak pandai menguruskan harta negeri dengan baik,” kata Abdul Shukur lagi.

 

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.