Bahasa

Pakatan mungkin potong dividen tahunan Petronas RM30 billion kepada Putrajaya

Oleh Ida Lim
December 24, 2012

KUALA LUMPUR, 24 Dis — Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memotong dividen tahunan Petronas RM30 billion kepada Putrajaya jika Pakatan Rakyat (PR) menang dalam pilihan raya umum akan datang, menurut laporan portal berita perniagaan Bloomberg.com hari ini.

PR bercadang untuk menetapkan dividen Petronas kepada negara berdasarkan peratus keuntungan syarikat yang ditetapkan, dan dengan ini membenarkan syarikat petroleum negara itu untuk membuat lebih pelaburan di luar negara yang dijangka memberi lebih banyak keuntungan, kata pengarah strategi PKR, Rafizi Ramli (gambar).

“Petronas seharusnya diuruskan secara komersil sepenuhnya,” katanya kepada Bloomberg semasa menerangkan cadangan Anwar, yang merupakan ketua umum PKR.

Menurut Bloomberg, pentadbiran PR akan mengadakan jawatankuasa peringkat parlimen di Dewan Negara untuk meningkatkan ketelusan terhadap Petronas, yang sekarang ini melapor terus kepada perdana menteri.

Petronas kini dilihat sebagai sumber kewangan negara, dengan laporan dari Reuters berkata pada Julai lalu ia adalah pembayar cukai terbesar dan sumber kewangan terbesar negara, dan menyumbangkan 45 peratus dari perbelanjaan kerajaan yang terus mempunyai hutang yang tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Shamsul Azhar Abbas berkata pada September lalu bahawa model sekarang, di mana pembayaran RM30 billion setiap tahun kepada Putrajaya harus ditukar kepada 30 peratus berdasarkan keuntungan, menurut laporan Bloomberg itu lagi.

Selain itu, perubahan polisi PR ialah untuk meningkatkan rizab petroleum negara dan pendapatan Petronas dengan membeli banyak blok petroleum di luar negara, dan mengurangkan pencarian di kawasan petroleum yang kecil di dalam negara.

PR dilaporkan berkata pencarian petroleum di luar negara mungkin merupakan cara yang lebih baik untuk mendapatkan pulangan yang lebih tinggi daripada pelaburan Petronas dalam masa lima tahun yang berjumlah RM300 billion.

“Terdapat banyak kemungkinan akan mendapat blok yang lebih besar untuk kita dapatkan petroleum di luar negara. 

“Kita akan hilang peluang untuk jangka masa panjang, kerana China sedang agresif mencar blok petroleum di seluruh dunia,” kata Rafizi kepada Bloomberg selepas temuramah bersama Bloomberg Selasa lalu.

Dalam pentadbiran Datuk Seri Najib Razak, Petronas telah menawarkan pemotongan cukai dan perkongsian pengeluaran kepada syarikat carigali petroleum luar negara untuk memikat mereka untuk mencari gali kawasan petroleum luar pantai di negara ini.

Najib pada November 2010 berkata pencarian kawasan baru itu bermungkinan menjana pendapatan sehingga RM50 billion untuk 20 tahun akan datang, menurut laporan Bloomberg.

Tetapi menurut Rafizi, cara Putrajaya itu cuma untuk jangka masa pendek.

“Ini bukan soal kewangan, ini soal masa dan tenaga kerja. Potensi untuk mencari kawasan baru yang besar sangat terhad,” kata Rafizi, dengan Bloomberg melaporkan bahawa pengarah strategi PKR itu pernah bekerja di unit perancangan perniagaan di Petronas.

Andrew Harwood, seorang penganalisis dari syarikat konsultasi dari Singapore Wood Mackenzie Ltd, bersetuju dengan Rafizi.

“Ia sangat munasabah jika syarikat petroleum negara keluar dari sempadan negara untuk pencarian kawasan petroleum baru.”

Beliau berkata dengan melakukan sedemikian, Petronas akan menggunakan sumbernya untuk mencari yang lebih besar, manakala kawasan minyak yang lebih kecil akan ditinggalkan kepada syarikat lain.

Victor Shum, konsultan dari Singapura berkata Petronas harus membuat kedua-duanya dengan mencari sumber tempatan dan membeli blok di luar negara.

“Ini adalah peluang untuk menjadi lebih berjaya dan efisyen dari segi kos. Mereka perlu cari gali kawasan tersebut,” kata pengarah urusan IHS Consultant yang dilaporkan oleh Bloomberg.

Menurut Bloomberg, rizab petroleum Malaysia akan bertahan 29 tahun lagi, sementara itu rizab gas akan bertahan 37 tahun.

 

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi