Bahasa

Pakatan Selangor mahu gerakkan 300,000 penyokong ke perhimpunan

PETALING JAYA, 7 Jan — Pakatan Rakyat (PR) Selangor komited untuk menggerakkan seramai 300,000 penyokong dari negeri tersebut untuk menghadiri perhimpunan Himpunan Kebangkitan Rakyat pada 12 Januari ini.

Dalam sidang media di ibu pejabat PKR di sini, ketiga-tiga wakil parti mengatakan kesediaan mereka untuk memenuhi komitmen untuk mencapai satu juta peserta dalam perhimpunan di Kuala Lumpur, Sabtu ini.

“Sebagai komitmen untuk menghimpunkan satu juta rakyat di Kuala Lumpur, Pakatan Rakyat negeri Selangor telah melakukan mobilisasi sejumlah 300,000 rakyat yang terdiri daripada anggota, penggerak dan penyokong bagi menyertai Himpunan Kebangkitan Rakyat pada 12 Januari ini,” kata Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abdul Rani Osman (gambar).

Turut hadir dalam sidang media tersebut ialah ahli dewan undangan negeri Batu Caves, Amirudin Shari dan Pengerusi DAP Selangor, Teresa Kok.

PR juga bertegas untuk menggunakan Stadium Merdeka sebagai tempat berhimpun, dan berharap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membenarkan mereka menggunakan stadium tersebut.

“Kami masih tunggu untuk kami buat dalam stadium, kami harap persetujuan dapat diberi secepat mungkin,” kata Kok dalam sidang media tersebut.

Sementara itu, Amirudin berkata PR sudah memaklumkan kepada pihak berkuasa dan pemilik Stadium Merdeka untuk perhimpunan tersebut.

“Kita dah maklumkan dengan mereka untuk buat di stadium, kita sangat berharap dapat yang terbaik.

“Ramai rakyat dah ambil keputusan untuk turun (perhimpunan), jadi lebih baik mereka benarkan,” kata Amirudin lagi.

Menurut Amirudin, PR akan memberitahu kepada ahli parti masing-masing mulai malam ini supaya menghadiri perhimpunan yang akan berlangsung Sabtu ini.

Penganjur mensasarkan satu juta orang untuk hadir ke Stadium Merdeka pada 12 Januari dengan warna hijau anti-Lynas, kuning Bersih 2.0, oren pergerakan anti Felda Group Venture Holdings (FGVH) dan merah untuk kumpulan yang menuntut royalti.

Kumpulan menuntut reformasi pilihan raya Bersih 2.0 tahun lalu cuba untuk mengadakan perhimpunan di Stadium Merdeka tetapi diketepikan oleh kabinet Datuk Seri Najib Razak pada saat akhir.

Peserta perhimpunan walaubagaimanapun meneruskan perhimpunan di jalan-jalan di ibu negara pada 9 Julai 2011 menyebabkan keadaan huru-hara apabila polis anti perusuh menawan kawasan terbabit dengan menggunakan gas pemedih mata dan meriam air.

Perhimpunan tersebut menyebabkan pergerakan hak asasi manusia bercambah disamping kecaman antarabangsa terhadap kerajaan Najib di atas tindakan keras polis kepada peserta perhimpunan.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.