Bahasa

Pakatan tidak akan mampu bentuk kerajaan walaupun menang, kata Nur Jazlan

February 12, 2013

KUALA LUMPUR, 12 Feb — Pakatan Rakyat (PR) tidak akan berpeluang untuk membentuk kerajaan walaupun memenangi Pilihan Raya 2013 selagi tidak dapat membuat keputusan bersama siapa yang akan menjadi perdana menteri.

Ketua Umno bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed (gambar), berkata pertelagahan antara PAS, DAP dan PKR berhubung calon perdana menteri sama ada Datuk Seri Abdul Hadi Awang atau Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan isyarat bahawa PR tidak akan membentuk kerajaan walaupun memenangi pilihan raya umum (PRU) ke 13.

Katanya, keadaan itu jelas berbeza dengan Barisan Nasional (BN) yang sepakat memilih Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri.

“BN adalah sebuah parti yang berdaftar, bergerak atas satu logo, manifesto dan bendera sejak lebih lima dekad lalu... keadaan ini amat berbeza dengan PR, yang sehingga ke hari ini, masih belum didaftar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Ini bermakna, hanya parti yang memenangi kerusi paling banyak dalam PRU 13, akan dipilih untuk membentuk kerajaan dan walaupun PR iaitu DAP, PAS dan PKR, boleh membentuk kerajaan sekiranya bersepakat memilih seorang ahli parlimen sebagai perdana menteri tetapi sehingga ke hari ini, mereka masih bertelagah mengenai calon berkenaan.

“Jadi, sudah pasti BN yang akan dipilih untuk membentuk kerajaan sebagai sebuah parti tunggal serta kestabilan yang dibuktikan selepas PRU 13.”

Nur Jazlan sebelum itu, menghadiri Mesyuarat Badan Perhubungan Umno Johor bersama Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Johor (Persada) di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar Singapura, Straits Times, Ahad lalu, yang melaporkan bahawa akan berlalu ketidaktentuan dalam politik negara selepas keputusan PRU 13.

Katanya, PR tidak akan mencapai kata sepakat dalam melantik siapa yg menjadi Perdana Menteri berikutan agenda dan perjuangan parti yang berbeza.

“Atas sebab itu, saya berkeyakinan bahawa BN akan menjadi parti tunggal memiliki kerusi yang terbesar di Parlimen sekaligus dipanggil untuk membentuk kerajaan,” katanya.

Mengulas mengenai pertemuan Badan Perhubungan Umno Johor dengan Najib, Nur Jazlan berkata, mesyuarat menjurus kepada perbincangan untuk persiapan PRU 13.

Katanya, Najib mahu jentera pilihan raya Umno Johor bersiap sedia menghadapi PRU 13 yang dijangka tidak lama lagi.

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi