Bahasa

Pakej perkahwinan istimewa di D’Muara Sg Kuala Terengganu

September 12, 2010

KUALA TERENGGANU, 12 Sept — Ingin merakamkan kenangan romantik bersama pasangan menyusuri Sungai Terengganu dengan perahu tradisional saat anda bergelar raja sehari?

Atau anda bersama pasangan dan rombongan perkahwinan diarak menaiki beca untuk ke majlis persandingan di hotel terkemuka di tengah-tengah bandaraya pesisir pantai ini?

Dengan perbelanjaan yang berpatutan, impian itu bakal menjadi realiti di Felda Residence Kuala Terengganu yang akan menguruskan semuanya untuk anda menerusi pakej Perkahwinan D’’Muara Sungai Kuala Terengganu.

Eksekutif F&B, D’’Saji Restoran & Cafe Sdn Bhd, Mohd D’’zulkifli Abdullah berkata pakej yang disediakan di hotel itu bertujuan membebaskan pasangan pengantin dan keluarga masing-masing dari kerja berat mengurus majlis perkahwinan.

“Bermula dari majlis merisik, bertunang dan majlis pernikahan, kami bersedia uruskan dari awal hingga akhir,” katanya kepada Bernama.

Katanya perkahwinan di Felda Residence menggabungkan unsur tradisional dan moden yang bersesuaian untuk pelanggan terutamanya dari Pantai Timur.

Majlis pertunangan dan akad nikah akan berlangsung di tingkat 19 hotel itu yang menghidangkan pemandangan Sungai Terengganu dan laut lepas mempesonakan manakala D’’Muara menjadi lokasi kenduri-kendara berkonsepkan bufet.

“Pengantin juga akan disediakan sebuah bilik penginapan di tingkat 19 hotel yang mempunyai 20 tingkat ini,” katanya.

Hotel itu menyediakan pakej perkahwinan serendah RM12,500 untuk 350 jemputan dan pelanggan boleh memilih empat variasi masakan yang ditawarkan iaitu Lavender, White Jasmin, Country Rose dan Lily of the Valley.

Katanya dengan kadar RM3,500 untuk 50 tetamu pula, beberapa kelengkapan untuk majlis pertunangan disediakan termasuk kamar persalinan, mini pelamin dan sebuah gerbang pertunangan dari pintu masuk utama ke pintu masuk D’’Muara.

“Untuk majlis akad nikah, seorang jurunikah bertauliah dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAIT) berserta dua orang saksi nikah disediakan,” katanya.

Hotel itu juga menyediakan pakej Ulang Tahun Perkahwinan kepada pasangan yang ingin meraikan ulang tahun perkahwinan masing-masing.

Pakej ulang tahun perkahwinan dibuat secara tradisional dengan pulut kuning dan rendang disediakan, katanya.

Sebuah gerbang peringatan mengenai pasangan berkenaan juga disediakan dari pintu masuk utama ke pintu masuk D’’Muara.

Bilangan minimum tempahan untuk pakej ini ialah seramai 50 orang tetamu dengan kadar RM3,500, katanya.

D’’Saji berpengalaman lebih 30 tahun dalam bidang katering dan 15 tahun dalam menguruskan pakej perkahwinan seumpama itu.

D’’zulkifli berkata kesemua tempahan untuk pakej yang disediakan itu perlu dibuat tiga bulan sebelum majlis berlangsung. — Bernama

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi