Bahasa

Pandelela mencipta sejarah dengan pingat gangsa di Olimpik

August 10, 2012

Pandelela Rinong Pamg bergambar di podium dengan pingat gangsa dimenangi semasa acara terjun 10m platform akhir di Kejohanan Olimpik 2012 London di Pusat Akuatik semalam. — Gambar ReutersLONDON, 10 Ogos — Penerjun negara, Pandelela Rinong Pamg mencipta sejarah nasional semalam dengan memenangi pingat gangsa Olimpik untuk acara terjun 10m platform wanita, pingat selain badminton pertama negara, serta menjadi wanita Malaysia pertama memenangi pingat di Olimpik.

Atlet kelahiran Sarawak Pandelela mendapat gangsa dengan jumlah mata 359.2, hanya 7.3 mata di belakang penerima pingat perak, Brittany Broben dari Australia. Chen Roulin dari Republik Rakyat Cina menguasai acara itu dengan jumlah mata sangat tinggi: 422.3. Dari awalan acara lagi, Chen menunjukkan prestasi mengkagumkan dengan meninggalkan lawannya yang terdekat di pertengahan acara dengan beza mata melebihi 40 .

Pandelela Rinong Pamg dipeluk selepas memenangi pingat gangsa dalam acara terjun 10m platform akhir di Kejohanan Olimpik 2012 London di Pusat Akuatik semalam. — Gambar ReutersWalaupun tidak dapat menandingi mata dikumpul Chen, penerjun-penerjun lain bersaing begitu hangat sehingga pemenang perak dan gangsa hanya ditentukan pada pusingan akhir. Pada awalnya, peluang Pandelela mencapai pingat nampak tipis setelah membuat kesilapan dalam terjunan pertama dan ketiganya, tetapi mencapai mata konsisten dalam terjunan yang lain.

Berusia 19 tahun, Pandelela menyertai pasukan terjun nasional pada umur 14 dan telah membuat pencapaian agak mengesankan termasuklah menjadi warga Malaysia pertama merangkul pingat emas dalam acara terjun di Sukan Komanwel di New Delhi (10m platform). Beliau juga memenangi pingat perak dalam acara 3-meter dan 10-meter papan anjal di Kejohanan Olimpik Belia di Singapura. Pandelela juga merupakan pemenang anugerah Olahragawati Nasional tahun ini serta menjadi atlet wanita pertama ditugaskan membawa bendera negara dalam kontinjen Olimpik tahun ini.

Dengan kemenangannya, jumlah pungutan pingat Olimpik Malaysia tahun ini berjumlah dua, ditambahkan kepada pingat perak yang dimenangi pemain badminton Datuk Lee Chong Wei. Tahun ini, Malaysia menghantar seramai 30 atlet untuk 9 acara: memanah, olahraga, badminton, berbasikal, terjun, pedang, kapal layar, menembak dan renang.

Bicara web

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi