Bahasa

Paria: Saya tidak bermaksud mahu hina kaum India, kata pengetua

Oleh Clara Chooi
January 17, 2011
Latest Update: January 18, 2011 06:35 am

KUALA LUMPUR, Jan 17 — Seorang pengetua di Ampang dekat ini mempertahankan dirinya apabila SMS tersebar luas mendakwa dia menggunakan perkataan “paria” ketika perhimpunan pagi di sekolahnya hari ini.

SMS itu disebarkan sejak pagi tadi mendakwa pengetua terbabit telah berucap dan menyindir masyarakat India di Malaysia sebagai kasta rendah iaitu paria.

Zaini Mohd Zin dari Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tasik Ampang mengakui dia ada menggunakan perkataan “paria” — itu pun hanya sekali, untuk merujuk novel kontroversi Interlok.

“Saya membuat penjelasan kepada para pelajar mengenai kepentingan mereka cemerlang dalam subjek sejarah dan kemudian saya merujuk kepada novel Interlok.

“Saya memetik novel, mengatakan masyarakat India tidak gembira dengan novel itu disebabkan perkataan itu (paria). Saya sudah tidak berani lagi mengulangi perkataan ini sekarang,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Zaini menambah, dalam ucapannya dia juga ada mengatakan bahawa masyarakat India dari kasta rendah di India telah berhijrah ke Malaysia pada satu masa lalu dan memutuskan untuk tinggal di sini kerana mendapati negara ini tempat yang baik untuk mereka tinggal.

“Saya mengatakan bahawa ramai yang meninggalkan India disebabkan sistem kasta dan mereka gembira di sini sebab Malaysia tidak amalkan perkara itu. Kita semua sama di sini,” kata beliau.

Bagaimanapun kata-katanya, kata Zaini, telah dilihat di luar konteks untuk mengatakan bahawa dia telah menghina masyarakat India dengan memanggil mereka sebagai golongan paria dan kelas bawahan.

Sehubungan itu, Zaini mengakui dia kini berhadapan situasi tidak senang apabila menyentuh pertikaian novel Interlok pada perhimpunan pagi tadi dan kesal kerana insiden tersebut telah menyinggung masyarakat India.

“Saya sebenarnya tidak bermaksud mahu menghina sesiapa dengan kenyataan saya itu,” kata beliau sambil menambah, pastinya sesuatu yang bodoh untuk menggunakan perkataan sedemikian bagi tujuan menyinggung orang lain.

“Sekarang, saya sudah tidak berani mengulangi perkataan ini . . . malah kepada anda pun,” kata beliau.

Justeru Zaini berkata, dia bersedia untuk memohon maaf berhubung insiden pagi tadi.

Katanya, dia juga akan membuat penjelasan ketika perhimpunan pagi Isnin depan.

“Saya juga sedang menulis surat kepada Jabatan Pelajaran Selangor dan Wilayah Persekutuan,” katanya.

Naib Presiden MIC Datuk S.K. Devamany berkata, pata pengetua dan guru di sekolah kerajaan perlu berhati-hati apabila mengeluarkan kenyataan sedemikian dan tidak menggunakaan perkataan-perkataan yang boleh menyinggung perasaan mana-mana pihak.

“Pengetua sekolah perlu sentiasa sensitif kepada kehendak kerajaan dalam mempromosikan perpaduan selaras dengan konsep 1 Malaysia.

“Kami tidak mahu imej 1 Malaysia tercemar kerana sikap sedemikian,” kata timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri ini sambil meminta Kementerian Pelajaran mengambil tindakan serius.

Dalam pada itu, ketika dihubungi The Malaysian Insider lewat petang ini, Nadarajah berkata, Zaini telah memohon maaf kepada kira-kira 200 pelajar India tengah hari tadi.

Difahamkan Zaini berbuat demikian selepas dihubungi The Malaysian Insider untuk mendapatkan komen menjelang tengah hari tadi.

Seorang pegawai sekolah mengesahkan pengetuanya membuat permohonan maaf sekitar pukul 12.30 tengah hari ketika satu pertemuan di perpustakaan.

“Dia memohon maaf dan bersalam dengan para pelajar,” kata pegawai itu sambil menambah, para pelajar juga menerimanya dengan positif.

Bagaimanapun seorang pelajar mempersoalkan niat pengetua itu berbuat demikian.

Justeru kata pegawai itu, Zaini turut memberikan penjelasan secara berasingan kepada pelajar itu yang kemudian menerima permohonan maafnya.

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi