Bahasa

Parti BN mengatakan akan menang majoriti dua pertiga dalam Pilihan Raya 2013

Oleh Boo Su-Lyn
January 25, 2013

KUALA LUMPUR, 25 Jan — Pemimpin Umno dan MCA menjangkakan sokongan padu kepada Barisan Nasional (BN) dalam apa yang mereka katakan sebagai usaha kerajaan memerangi rasuah walaupun tinjauan terkini daripada Universiti Malaya (UM) menunjukkan isu integriti akan menyebabkan parti pemerintah itu hilang sokongan.

Sejumlah 78 peratus daripada saiz sampel 1,409 pengundi mengatakan, integriti dan salahguna kuasa pemimpin BN memberi kesan kepada sokongan pengundi dalam pilihan raya umum, menurut tinjauan terkini dikeluarkan dua hari lalu oleh Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL). Akan tetapi pemimpin BN tidak merasa gelisah.

“BN akan menang majoriti dua pertiga, lebih baik daripada 2008,” kata Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan (gambar) kepada The Malaysian Insider melalui kiriman pesanan ringkas.

“Yang penting kerajaan dan parti sudah dan akan perangi rasuah. Dalam GTP (Program Transformasi Kerajaan) dan NKRA (Bidang Keberhasilan Utama Negara), jelas usahanya,” tambah beliau merujuk kepada inisiatif Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk memerangi rasuah dan mengurangkan jenayah.

BN kehilangan majoriti dua pertiga dalam Pilihan Raya 2008 bersejarah yang menyaksikan empat negeri — Perak, Selangor, Pulau Pinang dan Kedah — jatuh ke gabungan longgar PKR, PAS dan DAP yang kemudiannya menubuhkan Pakatan Rakyat (PR).

Mandat kerajaan pusat tamat April ini dan pilihan raya umum perlu diadakan pada Jun.

Chor Chee HeungChor Chee HeungNaib Presiden MCA Datuk Seri Chor Chee Heung memberitahu The Malaysian Insider sejumlah “besar” bilangan pengundi Cina telah kembali kepada BN kerana GTP dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) kerajaan.

“Sejak Datuk Seri Najib mengambil alih teraju, (dia telah melancarkan) pelbagai inisiatif seperti ETP dan transformasi kerajaan. Semua ini menunjukkan BN kini adalah benar-benar serius dalam mentransformasikan Malaysia kepada apa yang rakyat mahu,” kata Chor kepada The Malaysian Insider semalam.

Kaji selidik UM mendedahkan 95 peratus pengundi Cina bimbang tentang integriti.

Indeks Persepsi Rasuah Transparency International yang dikeluarkan Disember lepas meletakkan Malaysia sebagai negara ke-54 kurang rasuah di dunia, di belakang Singapura di tempat kelima dan Rwanda di tempat ke 50.

Sejumlah 62 peratus daripada pengundi yang ditinjau oleh badan UM itu juga mengatakan skandal Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) boleh mengurangkan sokongan kepada BN.

Ahmad walau bagaimanapun mengatakan, skandal RM250 juta NFC “tiada kaitan dengan Umno”, walaupun ia telah menyebabkan Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Jalil hilang jawatan senator sekaligus hilang jawatan menteri wanita, keluarga dan masyarakat.

“Mereka yang terlibat bukan pemimpin Umno,” katanya merujuk kepada keluarga Shahrizat yang menjalankan penternakkan lembu kebangsaan.

Kaji selidik UM juga menunjukkan masyarakat Cina adalah majoriti yang masih “tidak pasti” untuk memilih parti mana pada 53 peratus, manakala Melayu dan India berada pada 37 peratus dan 10 peratus.

Chor, walau bagaimanapun mengatakan masyarakat Cina cendrung menyokong BN sekarang.

“Ia telah berubah kerana mereka melihat dan memikirkan apa yang telah dilakukan oleh kerajaan, tidaklah begitu buruk sangat,” kata Chor yang juga menteri perumahan dan kerajaan tempatan.

BN mendahului dengan lima mata peratusan dalam kaji selidik UM, dengan 42 peratus mengatakan BN akan menang dalam pilihan raya umum ke 13, berbanding 37 peratus yang memberikan keyakinan kepada PR.

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi