Bahasa

Parti komponen tekad pastikan kemenangan BN pada PRU-13

January 12, 2013

BENTONG, 12 Jan — Parti komponen Barisan Nasional (BN) hari ini tekad menyatakan komitmen sepenuhnya bagi memastikan kerajaan BN terus mendapat mandat rakyat pada pilihan raya umum ke-13 nanti.

Kepimpinan parti-parti komponen turut menzahirkan keyakinan kepada kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membawa negara menuju Wawasan 2020.

Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata rakyat terus yakin dengan pelan transformasi nasional yang dilaksanakan Perdana Menteri.

“Negara kini berada di landasan yang betul dan rakyat tidak perlu memilih parti pembangkang yang belum pasti dapat membawa kemakmuran dan kesejahteraan kepada rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Rakyat 1Malaysia yang dihadiri lebih 30,000 orang di Dataran Karak, di sini.

Majlis dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob.

Liow yakin kaum Cina akan terus memberi sokongan kepada kerajaan BN. “Apa yang penting, kita perlu bekerjasama sebagai satu pasukan untuk berjaya pada pilihan raya umum nanti,” katanya.

Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel pula berkata MIC kini dalam keadaan bersiap sedia sepenuhnya dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Beliau juga yakin masyarakat India akan memberi mandat kepada kerajaan BN.

“Jentera MIC akan menjadi ‘good army’ dalam Barisan Nasional bagi membantu calon-calon yang akan bertanding,” katanya.

Presiden Parti Progresif Rakyat (PPP) Datuk Seri  M Kayveas berkata rakyat tidak perlu mempertaruhkan masa depan dengan memberikan mandat kepada pembangkang pada pilihan raya umum akan datang.

“Kerajaan BN telah membuktikan keupayaannya mengurus tadbir negara sejak lebih 55 tahun lepas,” katanya.

Beliau berkata ini seharusnya dijadikan kriteria untuk rakyat bagi terus memberi mandat kepada BN pada pilihan raya umum nanti.

Sementara itu Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata rakyat perlu bersatu hati dan memberi sepenuh kepercayaan kepada kerajaan BN demi masa depan negara yang lebih cemerlang.

“Gagasan 1Malaysia adalah satu gagasan besar yang perlu didukung rakyat, ia satu gagasan dari rakyat untuk rakyat,” katanya.

Beliau berkata negara menjadi maju adalah kerana sokongan padu rakyat kepada kerajaan BN untuk terus melakukan yang terbaik untuk kesejahteraan rakyat. — Bernama

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi