Bahasa

Parti politik perlu letak calon muda untuk PRU13, kata penganalisis

Oleh Mohd Farhan Darwis
January 01, 2013

KUALA LUMPUR, 1 Jan — Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) perlu menampilkan calon-calon muda bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 akan datang sebagai salah satu langkah menarik sokongan pengundi baru, kata penganalisis politik.

Mereka juga berpendapat kedua-dua parti harus menggugurkan mana-mana calon yang hanya mengejar populariti dan menjadi beban politik atau bakal ditolak pengundi.

“Di pihak BN ia satu keperluan ... barisan baru untuk memenuhi di semua komponen bagi menggantikan yang lama yang sepatutnya bersara ... jika tidak ia akan menjadi satu kekangan rakyat untuk memberi sokongan,” kata penganalisis politik Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Dr Jayum A Jawan kepada The Malaysian Insider.

“Bagi BN, fokus utamanya adalah negeri yang dikuasai PR. Kita akan saksikan banyak perubahan (calon), terutamanya di Selangor dan Pulau Pinang,” kata pensyarah Sains Politik Universiti Teknologi MARA (UiTM) Terengganu Asri Salleh.

Kumpulan pengundi baru merangkumi satu perlima daripada 13.1 juta pengundi dalam daftar pemilih di Malaysia, dengan jumlah berdaftar seramai 2.9 juta antara tahun ini dan 2008, ketika pilihan raya umum ke-12.

Kumpulan pengundi ini mempunyai kelebihan akses kepada maklumat melalui internet dan media sosial, yang kebanyakannya menuntut wakil rakyat dan ahli Parlimen menjurus ke arah politik baru bukannya politik lama.

Asri dan Jayum turut bersetuju bahawa bukan seperti BN, senarai calon PR perlu dirombak untuk pilihan raya akan datang kerana kebanyakannya adalah “bidan terjun” pada 2008.

Asri turut memberikan contoh ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff, yang dakwanya salah satu daripada wakil rakyat PR yang gagal menawan hati penduduk setempat.

“Pemikiran rakyat telah terbuka ... Isu nasional, walaupun penting, ia tidak lagi menjamin kemenangan parti. Calon itu sendiri memainkan peranan penting,” kata Dr Azizuddin Mohd Sani.

Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) itu menjelaskan, konsep “calon boleh menang” yang sering meniti bibir pemimpin BN sejak kebelakangan ini adalah petanda utama untuk memenangi kerusi berbanding senioriti dan pengaruh politik.

Dalam contoh yang dikemukakannya, bekas Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat, jelasnya disayangi penduduk parlimen Pandan yang diwakilinya, namun tidak begitu popular dalam kepimpinan parti akan menjadi dilema untuk parti komponen BN itu menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Malah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), melalui Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah Datuk Johan Jaafar mencadangkan calon yang bertanding perlu ditapis untuk memastikan mereka “bebas” daripada rasuah.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak turut menyokong cadangan itu, yang mana ramai pihak beranggapan apabila calon itu dibersihkan oleh SPRM, ia akan memberikan peluang lebih besar untuk calon itu menang.

Sehubungan itu, Jayum mencadangkan BN untuk menggugurkan calon veteran mereka yang menjadi beban politik dan berkemungkinan gagal dalam siasatan SPRM yang akan merumitkan lagi parti tersebut.

“Jika mereka tidak digugurkan, mereka akan menjadi liabiliti untuk BN ... jika Najib berani, beliau perlu menggantikan mereka dengan muka baru,” katanya.

Azizuddin dan Asri bagaimanapun menolak cadangan itu, dan mendakwa untuk menggugurkan mereka, terutamanya BN yang mana kumpulan pemimpin veteran itu mambawa kumpulan sokongan dan undi yang besa

kepada BN.

Pemimpin BN yang dihubungi The Malaysian Insider bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah muka baru yang akan bertanding, namun menjanjikan akan ada muka baru seperti yang dicadangkan Najib.

“Dalam pilihan raya, perlu ada muka baru...” kata Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Ketua Penerangan Umno Johor, Datuk Samsol Bari Jamali dan Setiausaha Agung Gerakan Teng Chang Yeow, berkata, calon boleh menang adalah kriteria utama mereka berbanding umur.

“Kami akan mencalonkan calon boleh menang ... Jadi kami mencari calon yang sesuai tidak mengira sama ada mereka tua atau muda,” jelas Teng.

“Calon muda perlu untuk menjadi pelapis ... Tanggungjawab parti adalah menyediakan pelapis untuk parti, supaya mereka bersedia,” kata Samsol Bari.

Sementara itu, PKR sudah menyatakan dengan jelas parti itu menghargai generasi muda dan akan mengisi sebanyak mungkin calon muda berbanding rakan komponennya, PAS dan DAP.

Pemimpin muda dijangka akan mengisi 35 peratus calon PKR dalam pilihan raya umum akan datang, dan parti itu akan bertindak dengan lebih agresif untuk menewaskan BN,” kata Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Perlumbaan meletakkan calon muda dijangka sengit antara BN dan PR kerana 80 peratus penduduk Malaysia daripada 28 juta populasi berusia 45 tahun ke bawah, dan sebahagiannya di bawah 25 tahun.

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi