Bahasa

PAS akan bincang dengan bukan Islam tentang isu salun

Oleh Md Izwan
November 27, 2012

KUALA LUMPUR, 27 Nov — PAS memandang serius bantahan daripada masyarakat bukan Islam terhadap isu salun di negeri Kelantan dan menyatakan kesediaan berbincang dengan mereka untuk mencari jalan penyelesaian.

Kenyataan tersebut dinyatakan oleh presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang (gambar) di Parlimen hari ini.

“PAS pusat telah dimaklumkan oleh kerajaan negeri Kelantan bahawa mereka sedia menimbangkan cadangan semua pihak daripada kumpulan bukan Islam bagi membincangkan dan mencari jalan terbaik bagi menyelesaikan isu ini mengikut konsep hak kebebasan anutan orang bukan Islam,” kata Abdul Hadi dalam satu kenyataan yang dibacakan Naib Presiden parti tersebut  Salahuddin Ayub di lobi Parlimen.

Dalam kenyataan itu lagi, Abdul Hadi menegaskan bahawa tindakan melarang pendandan rambut perempuan untuk memotong rambut pelanggan lelaki bukan Islam tidak bermaksud untuk melaksanakan perundangan moral Islam ke atas orang bukan Islam.

“PAS percaya kerajaan negeri Kelantan tidak bermaksud untuk meluaskan pelaksanaan apa-apa peruntukan berkaitan perundangan moral Islam ke atas orang bukan Islam,” tambah Abdul Hadi.

 

Hadi menjelaskan bahawa langkah yang diambil itu mungkin disalah tafsir sesetengah pihak memandangkan kerajaan negeri Kelantan juga perlu melaksanakan tanggungjawabnya bagi memastikan kemurnian akhlak rakyat beragama Islam terus terpelihara.

Ekoran keputusan oleh Kelantan tersebut, pengerusi DAP Karpal Singh telah mengecam dan mahu kepimpinan PAS campurtangan dan menyelesaikan segera kontroversi terbaru berhubung peraturan di Kelantan itu.

“Saya terkejut Kelantan telah memutuskan untuk memperluaskan peraturan tersebut ke atas bukan Islam,” kata Karpal yang dipetik.

Karpal turut mendakwa langkah itu juga akan menyebabkan kekeliruan memandangkan PAS secara terbuka mengisytiharkan bahawa undang-undang Islam tidak membabitkan bukan Islam.

Namun, kerajaan PAS Kelantan tetap tidak membenarkan tukang gunting perempuan bukan Islam menggunting rambut pelanggan lelaki bukan Islam walaupun dibantah Karpal.

Kemelut salun rambut bukan satu-satunya kontroversi pengasingan jantina yang timbul daripada Kerajaan PAS Kelantan sejak parti itu mengambil negeri tersebut pada tahun 1990.

Pada tahun 1995, kerajaan memutuskan bahawa lelaki dan wanita tidak dibenarkan untuk duduk bersebelahan antara satu sama lain di pawagam. Kerajaan negeri juga berkata lampu mestilah dihidupkan semasa pemeriksaan.

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi