
Tindakan itu diambil setelah Zainuddin yang turut dikenali sebagai “Zam” enggan memohon maaf dan menarik balik cerita fitnah tersebut.
PAS sebelum ini memberikan tempoh tiga hari kepada Zainuddin bermula 30 Ogos lalu agar beliau memohon maaf dan menarik balik kenyataan tersebut.
Dalam temu bual dengan Umno Online, Zainuddin yang juga bekas ketua pengarang Kumpulan Utusan berkata semasa tragedi 13 Mei 1969, PAS telah meminta Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj agar “merampas” harta orang Cina manakala ketika Konfrantasi Malaysia-Indonesia, PAS menyebelahi Indonesia supaya ‘mengambil’ Malaysia.
Zainuddin berkata, parti-parti komponen Pakatan Rakyat PAS, DAP dan PKR penuh dengan kepura-puraan dalam mengaplikasikan politik tanpa menunjukkan hal yang sebenar.
Zainuddin berkata, pendirian dan tindakan PAS sendiri bertentangan dengan Islam.
Laporan polis itu dibuat Ketua Penerangan PAS pusat Idris Ahmad di Balai Polis Chow Kit, Lorong Haji Taib di sini kira-kira pukul 3 petang tadi.
Idris berkata PAS menganggap tuduhan yang dibuat Zainuddin itu sangat serius dan yakin ia bertujuan untuk menghilangkan kepercayaan orang bukan Melayu kepada parti itu.
“Tujuan beliau tidak lain adalah untuk menimbulkan keraguan dan pada masa sama menghilangkan keyakinan orang bukan Melayu yang sekarang ini dilihat memberikan sokongan dan kepercayaan kepada PAS dan juga Pakatan Rakyat,” katanya.
Beliau berkata Umno dilihat begitu terdesak kerana kehilangan sokongan rakyat sehingga bertindak memfitnah PAS.
“Umno tahu mereka sudah kehilangan sokongan, jadi mereka terpaksa melakukan apa sahaja termasuk memfitnah PAS.
“Mereka seolah-olah sudah tidak dapat lagi mengawal keadaan apabila orang bukan Melayu tidak lagi bersama mereka dan apa yang Zainuddin buat hanya untuk menjejaskan imej PAS,” katanya.
Menurut Idris, politik yang dimainkan Zainuddin “sudah ketinggalan zaman” sambil meminta beliau supaya menghentikan membuat fitnah terhadap PAS.
“Beliau sudah tua, politik yang dimainkan beliau adalah politik 60-an dan rakyat boleh tahu kebenarannya.
“Zaman beliau sudah berlalu dan tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sebegitu,” katanya lagi.
Tambahnya, PAS masih merancang untuk mengambil tindakan saman terhadap Zainuddin.
“Kita masih dalam perbincangan dengan peguam, lepas Hari Raya nanti kita akan beri keputusan,” katanya.







