7-day Archive: 
The Malaysian Insider

Bahasa

PAS dan PKR tolak sertai, Himpun terbuka terima pemimpin politik Muslim

October 20, 2011

KUALA LUMPUR, 20 Okt — Sekretariat Himpunan Sejuta Umat (Himpun) masih membuka undangan kepada semua pemimpin Islam dari parti-parti politik untuk hadir pada perhimpunannya di Shah Alam, Sabtu ini meskipun PAS dan PKR memutuskan untuk tidak menyertai bersama.

Pengerusi bersamanya Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, Himpun beriltizam untuk memastikan bahawa penyatuan ummah dapat diperkukuhkan dalam ikatan akidah sebagai satu-satunya prinsip yang tidak mungkin umat Islam mahu berkompromi atau berpecah.

“Oleh kerana itu kami terus membuka undangan kepada semua kepimpinan Islam dari semua parti politik agar bersama dalam perhimpunan tersebut supaya mendidik umat Islam bahawa akidah umat Islam mesti dipelihara dan betapa perlunya hidup berakidah di kalangan umat Islam diperkukuhkan dalam sebuah negara berbilang agama,” kata  beliau dalam satu kenyataan.

Mohd Azmi berkata Sekretariat Himpun menghormati dan menyambut baik keputusan PAS, yang diputuskan malam kelmarin, bahawa ia tidak terlibat dengan anjuran perhimpunan besar-besar julung kali diadakan atas alasan bahawa ini adalah inisiatif pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan tidak melibatkan mana-mana parti politik.

Pendirian PKR diumumkan semalam susulan keputusan PAS pusat.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim  berkata, pihaknya hanya tidak terlibat dengan perhimpunan itu namun teguh mempertahankan prinsip Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dan segala usaha mempertahankan akidah umat Islam harus ditingkatkan.

PAS memutuskan tidak menyertai Himpun atas dasar menghormati kehendak penganjur yang tidak mahu ia melibatkan parti-parti politik.

Parti Islam itu bagaimanapun mengingatkan pihak penganjur agar tidak menimbulkan polemik perkauman dan agama yang akan membawa negara kepada satu suasana yang tidak menguntungkan mana-mana pihak.

“Saya berpendapat bahawa ini menjelaskan keadaaan bahawa tidak ada pengaruh parti politik atau mana-mana agensi yang berkait dengan instrumen parti politk dalam penganjuran perhimpunan yang digerakkan oleh NGO Islam.

“Persetujuan agensi-agensi kerajaan dan separuh kerajaan serta NGO untuk hadhir dan memberi sokongan adalah atas jemputan sekretariat Himpun,” kata beliau.

Mohd Azmi juga berkata, sesungguhnya dorongan perhimpunan adalah bertolak dari keprihatinan terhadap amanah dan kebertanggungjawaban untuk berpegang teguh kepada akidah tauhid dan bukan bertujuan untuk kepentingan mana-mana parti politik.

“Dengan kehadiran semua pemimpin Islam dari pelbagai parti politik di perhimpunan tersebut, kami mengharapkan semua ahli Muslim dari mana-mana parti politik yang cintakan dan prihatin terhadap isu akidah umat Islam akan memahami bahawa isu akidah umat Islam merentas dan mengatasi mana-mana kepentingan yang lain,” katanya.

Menurut Mohd Azmi, ia juga adalah kesempatan baik semua kepimpinan Muslim di negara ini menunjukkan bahawa mereka komited kepada usaha mengekalkan  keamanan dan kehidupan harmonis antara agama di negara ini berdasarkan kedudukan Islam yang istimewa dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Sekali gus ini juga peluang kepada semua pihak dari semua kelompok dan lapisan masyarakat Islam untuk menyatakan komitmen sebagai keluarga besar ummah menghargai betapa negara ini perlu dilindungi dari sebarang konflik antara agama.

“Kami benar-benar mengharapkan semua pihak memahami bahawa isu yang hendak ditampilkan oleh Himpun ialah persoalan mempertahankan akidah umat Islam dari sebarang gugatan dan ia juga menegaskan komitmen untuk mengekalkan keharmonian antara kaum dan penganut pelbagai agama di negara ini,” kata Mohd Azmi.

Katanya, Himpun bertujuan untuk mendidik umat Islam supaya meningkatkan keiltizaman terhadap hidup berakidah tauhid dan memastikan penghayatan Islam benar-benar diamalkan secara menyeluruh.

Jelas beliau, semangat untuk mengujudkan perhubungan yang harmonis antara semua penganut agama di negara ini tetap akan dipertahankan berdasarkan hak dan kebebasan beragama seperti yang terjamin dalam Perlembagaan Persekutuan.