Bahasa

PAS gesa sidang khas Parlimen, kertas putih perjelas isu Lahad Datu

Oleh Mohd Farhan Darwis
March 03, 2013
Latest Update: March 03, 2013 11:20 pm

KUALA LUMPUR, 3 Mac — Pemimpin PAS hari ini menggesa Putrajaya supaya memanggil sidang khas Parlimen dan mengeluarkan “kertas putih” dan membuat penjelasan berhubung insiden pertempuran pasukan keselamatan Malaysia dan militan Filipina di Lahad Datu.

Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar (gambar) menegaskan, Putrajaya perlu memberi penjelasan berhubung perkara itu kerana ia melibatkan keselamatan orang ramai dan negara, serta menambah selagi kerajaan berdiam diri, khabar angin akan terus tersebar dengan meluas.

“Putrajaya perlu wujudkan sidang khas Parlimen ...  sampai sekarang kita lihat masih lagi tiada tindakan, adakah kerjaan lemah atau nak mempolitikkan isu ini walaupun ada nyawa terkorban,” kata Mahfuz ketika sidang media di Ibu Pejabat PAS di sini.

“Keluarkan kertas putih secepat mungkin, dan perjelaskan kepada ahli Parlimen supaya kami boleh membantu mencari jalan penyelesaian ... selagi kerajaan tidak beri maklumat, banyak spekulasi akan dibuat pelbagai pihak, dan kerajaan tidak boleh marah kalau orang ramai kata ini konspirasi kerana tiada penjelasan” katanya lagi.

Jelas Naib Presiden PAS itu lagi, berdasarkan situasi yang berlaku sekarang ini, ia seolah-olah menunjukkan kelemahan sistem risikan pihak berkuasa.

“Apa yang berlaku seolah-olah perisikan kita lemah dan mereka (militan) ini juga seperti melihat keselamatan negara kita ini dilihat terlalu lemah apabila dengan mudah mereka membolosi sempadan negara,” tegasnya lagi.

Mengulas berkenaan kenyataan media antarabangsa yang dikatakan mengaitkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan insiden di Lahad Datu, Mahfuz menegaskan, sekiranya kejadian itu benar-benar berlaku, ia bukti kukuh kelemahan agensi keselamatan Malaysia.

 

“Saya kata tak betul (kaitan Anwar dan militan Filipina) ... kalau itu hujah mereka sah agensi keselamatan kita lemah,” tegasnya.

Beliau turut mempersolkan laporan tersebut yang mana katanya digunakan untuk mengalih perhatian rakyat terhadap isu di Lahad Datu.

“Macam mana tak boleh ambil tindakan awal, pemimpin pembangkang berjumpa mereka, itu hanya nak alih isu ... sebab itu kami minta kertas putih di Parlimen,” katanya, dan menambah, kerajaan Malaysia harus berterus terang dalam hal keselamatan negara, dan tidak seharusnya berselindung.

Bernama melaporkan seorang pegawai dan empat anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) terkorban dalam serangan hendap oleh sekumpulan lelaki bersenjata di Kampung Sri Jaya, Siminul, Semporna, Sabah semalam.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata kejadian di perkampungan atas air pada pukul 8 malam itu turut menyebabkan dua anggota kumpulan bersenjata terbabit terbunuh.

Kelima-lima anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Semporna itu ditugas untuk menjalankan siasatan di kampung berkenaan berikutan polis mendapat maklumat mengenai sekumpulan lelaki bersenjata di kampung itu, katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Ismail berkata anggota polis itu ditembak semasa menuju ke sebuah premis di kampung berkenaan dan mereka membalas tembakan untuk mempertahankan diri.

Jelasnya lagi polis juga sedang menyiasat sama ada kumpulan bersenjata itu mempunyai kaitan dengan lebih 150 orang kumpulan penceroboh bersenjata di Kampung Tanduo, Lahad Datu, yang terletak kira-kira 150 kilometer dari Semporna.

Ismail turut berkata identiti pegawai dan anggota polis yang terkorban di Semporna itu akan dimaklumkan kemudian.

Jelasnya lagi polis turut mengesan sekumpulan 10 lelaki dengan tiga daripada mereka bersenjata api di Kampung Lomalong dan Kampung Dasar Lama, Kunak, kira-kira 60 km dari sini, pada pukul 10 malam tadi.

“Sehingga kini polis sedang menjejaki pergerakan dan tujuan kumpulan itu,” katanya.

Tambahnya, polis turut menahan tiga daripada lebih 150 anggota kumpulan bersenjata rakyat Selatan Filipina yang menceroboh dan berpangkalan di Kampung Tanduo, di sini sejak 9 Februari lepas.

“Mereka dipercayai cuba keluar daripada kumpulan itu,” katanya yang enggan mendedahkan maklumat terperinci mengenai tangkapan itu.

 

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi