Bahasa

PAS Johor tawar muka baru harap sumbang kerusi tawan Putrajaya

Mahfodz (tengah) mengumumkan calon-calon PAS bagi negeri Johor, di Johor Baru 13 April 2013. — Gambar oleh Saw Siow FengMahfodz (tengah) mengumumkan calon-calon PAS bagi negeri Johor, di Johor Baru 13 April 2013. — Gambar oleh Saw Siow FengJOHOR BARU, 13 April ― PAS Johor dilihat mengemukakan lebih daripada separuh muka baru dalam barisan calon mereka di negeri ini dengan harapan dapat menarik undi serta mampu menyumbang kerusi untuk Pakatan Rakyat (PR) menawan Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Daripada lapan kerusi Parlimen, PAS menawarkan tujuh muka baru, manakala daripada 30 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan ditandinginya, 13 calon PAS adalah muka baru.

Daripada jumlah itu, Pesuruhjaya PAS Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamed mensasarkan tiga kerusi Parlimen akan dimenangi mereka, manakala bagi kerusi DUN, sasaran beliau adalah lebih 10 kerusi.

“Separuh calon baru DUN ada 13 daripada 30, manakala muka baru Parlimen ada tujuh daripada lapan kerusi. Daripada jumlah kita sasarkan tiga mesti menang untuk Parlimen, manakala 17 bagi DUN, namun lebih 10 kerusi kita pasti menang,” katanya ketika sidang media di New York Hotel di sini selepas pengumuman barisan calon Parlimen dan DUN yang akan bertanding dalam PRU 13 pada 5 Mei depan.

Beliau bagaimanapun tidak menamakan kerusi-kerusi yang dirasakannya mempunyai peluang untuk menang tersebut.

Johor mempunyai 26 kerusi Parlimen dan 56 DUN untuk dipertandingkan dalam pilihan raya akan datang.

Pada Pilihan Raya 2008, PAS bertanding sembilan kerusi Parlimen, namun bagi PRU 13 kali ini, PAS hanya bertanding lapan kerusi selepas menukar kerusi Parlimen Tebrau kepada calon PKR dan PAS mendapat kerusi DUN Putri Wangsa.

Bagi calon kerusi Parlimen, PAS meletakkan Naib Presiden mereka, Salahuddin Ayub yang sebelum ini bertanding selama dua penggal di Kelantan untuk kembali ke Johor dan akan bertanding di Parlimen Pulai.

Calon menteri besar Johor sekiranya pembangkang berjaya menawan Johor itu juga turut diletakkan ke kerusi DUN Nusajaya.

Sementara itu, PAS turut meletakkan seorang lagi calon mereka bertanding di dua kerusi, iaitu Ketua Dewan Pemuda PAS Johor Suhaizan Kaiat yang akan bertanding di Parlimen Simpang Renggam dan DUN Kempas.

PAS juga turut mempertaruhkan Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) yang berbangsa Cina untuk bertanding di Parlimen Ayer Hitam iaitu Hu Pang Chaw.

Bagi kerusi Parlimen Pagoh, PAS meletakkan Mohd Rozali Jamil al-Hafiz; manakala kerusi Parlimen Parit Sulong, Khairuddin Abdul Rahim; Mersing, Roslan Nikmat; dan Tenggara, Muhammad Said Jonit; serta Kota Tinggi, Onn Jaafar.

Majlis pengumuman bakal calon PAS itu juga turut dihadiri Mursyidul Am parti Islam tersebut, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.