Bahasa

PAS Kedah mungkin letak calon bertanding dua kerusi

April 05, 2013

ALOR SETAR, 5 April — PAS Kedah mungkin meletakkan calon untuk bertanding di dua kerusi iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) nanti.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah berkata PAS negeri juga sedang menimbangkan untuk tidak mencalonkan semula beberapa wakil rakyat sedia ada bagi memberi ruang kepada muka baharu.

Beliau berkata ketika ini nama calon bagi PAS Kedah masih belum dimuktamadkan dan mungkin diumumkan selepas 9 April.

“Sekarang ini tengah buat finishing touch...tak boleh gopoh-gopoh. Tahun 2004 dan 2008 kita umum serentak (bersama parti pembangkang lain),” katanya pada sidang media mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Istana Anak Bukit di sini hari ini. 

Mengenai desakan beberapa pemimpin akar umbi PAS yang mahukan beliau digantikan dengan calon lain pada PRU-13 berikutan masalah kesihatan yang beliau alami, Azizan berkata beliau akan bertanding termasuk mempertahankan DUN Sungai Limau jika diminta pucuk pimpinan parti.

“Kalau orang cakap dah lama, beri orang lain takpe lah. Tapi saya tetap ketuai PAS negeri bersama pakatan pembangkang untuk menghadapi BN (Barisan Nasional) (pada PRU13). Saya nak jadi kapten, saya jeneral pilihan raya, tak boleh lemah, kena kuat.  

“Kalau masalah kesihatan, Tuan Guru Nik Aziz (Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) lagi sakit. (Pengerusi DAP) Karpal Singh naik wheel chair (kerusi roda) terus,” katanya.

Azizan berkata beliau merupakan wakil rakyat paling lama di Kedah, selain Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah dan Ketua Umno Bahagian Jerlun Datuk Abu Hasan Sharif.

Ditanya mengenai pembahagian kerusi yang masih belum selesai antara DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang memungkin pertembungan antara kedua-dua parti di beberapa kawasan, beliau berkata pelbagai perkara boleh terjadi pada saat-saat akhir.

Sebelum ini, Pengerusi DAP Kedah Lee Guan Aik dilaporkan sebagai berkata pertembungan antara PKR dan DAP bagi kerusi Parlimen dan DUN di Kedah pada PRU-13 nanti mungkin akan berlaku.

Ini berikutan tindakan Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan nama calon PKR bagi Parlimen Alor Setar sedangkan DAP berkeras mahu bertanding di situ. Difahamkan DAP turut berminat dengan beberapa kerusi DUN dan Parlimen yang ditandingi PKR pada PRU 2008. — Bernama

 

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi