Bahasa

PAS membariskan 22 calon wanita dalam PRU 13

March 21, 2013

KUALA LUMPUR, 21 Mac — PAS akan meletakkan 22 calon wanita pada Pilihan Raya 2013, di mana lapan darinya merupakan kerusi parlimen, manakala 14 lagi adalah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), kata Timbalan Ketua Wanita PAS, Dr Siti Mariah Mahmud.

“Setakat ini, 22 kerusi telah dimuktamadkan untuk calon di kalangan muslimat. Mungkin ada pertambahan lagi,” kata beliau dipetik dari laman Harakahdaily.

Menurut ahli parlimen Kota Raja itu lagi, kerusi-kerusi tersebut meliputi beberapa negeri seperti di Kelantan, Selangor, Negeri Sembilan, Sarawak dan Perak.

Beliau juga berkata, pada mulanya Wanita PAS meminta setiap negeri satu kerusi parlimen, dan satu kerusi DUN akan tetapi mereka memperolehi lebih daripada itu.

“Bagaimanapun, kami mendapat kerjasama yang baik apabila ada negeri yang menawarkan lebih dari satu kerusi untuk calon wanita,” katanya.

Menurut Dr Siti Mariah, kuota 30 peratus calon wanita bagi Pakatan Rakyat (PR) masih belum dicapai kerana ia turut melibatkan calon wanita daripada DAP dan PKR.

“Insya Allah, semua calon wanita yang menang pada PRU lepas, dicalonkan semula memandangkan laporan prestasi yang baik daripada kami,” katanya.

Dalam wawancara eksklusif bersama The Malaysian Insider baru-baru ini, Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin memberitahu, PR akan melantik sekurang-kurangnya 10 menteri wanita berdasarkan daripada 30 peratus kuota wanita sekiranya berjaya menawan Putrajaya.

Zuraida mengatakan, PR akan melaksanakan kuota tersebut di semua peringkat — termasuk dalam 33 jawatan kementerian, wakil di parlimen dan lembaga pengarah korporat — satu langkah untuk memenangi undi wanita yang berjumlah 49 peratus daripada 13.3 juta pengundi.

“Pakatan komited untuk melaksanakan 30 peratus di semua peringkat,” katanya.

“Kuota ini langkah sementara,” tegas beliau apabila ditanya jika polisi tersebut menghina kemampuan wanita.

Penganalisis mengatakan pengundi atas pagar wanita akan menentukan keputusan Pilihan Raya 2013 yang dijangka akan menjadi perlawanan sengit di antara Barisan Nasional (BN) dan PR.

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi