Bahasa

PAS pecat Hasan Ali

KUALA LUMPUR, 8 Jan - PAS hari ini mengambil keputusan memecat bekas Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali berkuatkuasa serta-merta tindakan yang dipercayai ekoran kenyataan-kenyataan yang bertentangan dengan dasar parti.

Keputusan itu dibuat sebulat suara dalam mesyuarat bulanan jawatankuasa kerja PAS pusat di ibupejabat PAS Jalan Raja Laut di sini.

Tindakan memecat Dr Hasan dibuat berdasarkan Fasal 82(9) iaitu memecat keahlian sebagai ahli PAS.

"Setelah mempertimbangkan segala pandangan yang diberikan oleh ahli-ahli jawatankuasa pAS Pusat dalam mesyuarat yang diadakan pada hari ini, PAS pusat telah membuat keputusan berdasarkan Fasal 82(9) iaitu memecat keahlian Datuk Dr Hasan Ali sebagai ahli PAS berkuatkuasa serta-merta.

"Keputusan ini dibuat berdasarkan kepada tindakan-tindakan Datuk Dr Hasan Ali yang menyalahi dan merugikan kepentingan parti sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan PAS," kata satu kenyataan di HarakahDaily.

Dr Hasan, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia dan exco kerajaan negeri Selangor sebelum ini seringkali mengeluarkan kenyataan yang "menongkah arus".

Terbaru beliau menolak perhimpunan 901 dan menyifatkannya sebagai perbuatan sia-sia serta memberi kesan tidak baik terutamanya kepada golongan muda.

Beliau berkata ahli PAS tidak perlu menghadiri perhimpunan berkenaan.

Sementara itu  Ketua Dewan Muslimat PAS pusat Siti Zailah Mohd Yusoff ketika dihubungi The Malaysian Insider mengesahkan perkara itu.

"Keputusan dibuat setelah meneliti, mengadakan rundingan dan memberikan nasihat kepada beliau (Dr Hasan) tapi beliau tidak mempedulikan arahan parti dan masih melakukan perkara yang bercanggah dengan dasar parti.

'"Keputusan ini dibuat secara sebulat suara dalam mesyuarat tadi," katanya.

Bagaimanapun Dr Hasan boleh mengemukakan rayuan kepada Majlis Syura.

Turut hadir dalam mesyuarat hari ini Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

 

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.