Bahasa

PAS Perak tanding 22 kerusi Dun, 7 Parlimen

LUMUT, 10 April — PAS Perak semalam mengesahkan bahawa parti itu akan bertanding di 22 buah kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dan tujuh kerusi Parlimen di negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Pesuruhjaya PAS negeri Abu Bakar Hussain berkata perkara itu diputuskan pada perbincangan di peringkat pusat di Kuala Lumpur semalam.

Dalam majlis pra-pengumuman calon di markas parti itu di Kampung Permatang, Pasir Panjang, beliau turut mengumumkan beberapa calon yang akan bertanding pada PRU13.

Mereka termasuk Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Changkat Jering yang sebelum ini ditandingi Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Manakala, calon wanita Rohawati Abidin yang merupakan Ketua Dewan Muslimat PAS Lumut diumumkan akan menggantikan Nizar di Dun Pasir Panjang dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Idris Ahmad dinamakan sebagai calon di Parlimen Bukit Gantang, menggantikan Nizar.

"Dun Kubu Gajah pula akan ditandingi kembali oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Larut, Nazri Din.

"Kesemua mereka dipilih atas faktor integriti, amanah, setia dan telus," katanya. – Bernama

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.