Bahasa

PAS: Pilihan raya musim haji tidak Islamik

Oleh Ida Lim
June 23, 2012

KUALA LUMPUR, 23 Jun  — PAS hari ini berkata, perdana menteri tidak seharusnya mengadakan pilihan raya sewaktu musim haji kerana tindakan itu akan menjadikan beliau pengkhianat kepada agama Islam.

Semalam, Datuk Seri Najib Razak dilaporkan tidak menolak kemungkinan akan mengadakan pilihan raya ketika musim haji, dan menjelaskan ia pernah dilakukan ketika zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

“Jika Datuk Seri Najib melakukan pilihan raya ketika musim haji, beliau pengkhianat Islam dan umat Islam,” kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, dalam sidang media di pejabatnya di sini.

Tambahnya, pilihan raya ketika musim haji akan “menafikan hak 30,000 Muslim di Malaysia yang pergi menunaikan haji.”

Mustafa menjelaskan, haji dan pilihan raya kedua-duanya amat penting buat umat Islam, dan menegaskan 300,000 pengundi mampu memberikan perubahan besar dalam pilihan raya.

“Pilihan raya terdahulu menunjukkan ADUN boleh memenangi kerusi dengan margin kurang 100 undi, dan kerusi Parlimen hanya ditewaskan dengan beberapa ratus undi.”

Mustafa turut menggesa Najib untuk “memberikan jaminan pilihan raya tidak akan dilaksanakan ketika musim haji.”

Tambahnya, PAS juga bersedia untuk berdebat dengan Umno berhubung perkara itu.

Najib semalam dilaporkan berkata: “Dalam sejarah negara, pilihan raya pernah dibuat ketika musim haji ... pada 1986, pilihan raya pada musim haji, ketika zaman [Tun Dr Mahathir Mohamad].”

Beliau berkata demikian sebagai respon kepada kenyataan Naib Presiden PAS Mohamad Sabu yang menuntut Najib tidak melakukan pilihan raya sehingga selesai musim haji. Haji akan bermula pada 26 Oktober.

“Hanya tuhan yang menentukan dosa pahala. Kita tidak akan menghalang sesiapa ... nak pergi, silakan,” tambah Najib yang menunaikan Rukun Islam kelima itu tahun lepas.

Sumber bagaimanapun menjelaskan, Haji pada 26 Oktober dan Barisan Nasional masih berusaha untuk menarik sokongan pengundi Cina dan belia terhadap Barisan Nasional (BN), dan pilihan raya mungkin November.

The Malaysian Insider melaporkan pada 28 Mei kemungkinan pilihan raya pada September, namun pengumuman Najib terhadap Bajet 2013 pada 28 September telah memaksa pakar strategik parti mencari tarikh lain.

Bicara web

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi