Bahasa

PAS teguh di belakang Mat Sabu dalam serangan ‘Syiah’ oleh Zahid Hamidi

KOMENTAR BERITA OLEH AMIN ISKANDAR
December 17, 2013

Mat Sabu dan Mustafa (kanan) semasa sidang akhbar di ibu pejabat PAS. Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 17 Disember, 2013.Mat Sabu dan Mustafa (kanan) semasa sidang akhbar di ibu pejabat PAS. Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 17 Disember, 2013.Serangan terhadap Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu oleh Naib Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menuduhnya menganut fahaman Syiah sedikitpun tidak menjejaskan kepercayaan parti Islam itu terhadapnya, malahan beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya Pulau Pinang bagi meredakan ketegangan dengan kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP.

Pelantikan Mohamad memberikan isyarat PAS berdiri teguh di belakang Timbalan Presiden mereka yang tidak henti-henti berhadapan dengan serangan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan media arus perdana.

Tindakan ini juga memperlihatkan PAS lebih mementingkan kerjasama politik bersama Pakatan Rakyat (PR) daripada terjerat dalam perdebatan Sunni-Syiah yang sudah lama selesai dikalangan ulama-ulama besar kedua-dua aliran berkenaan di peringkat antarabangsa.

Hubungan rapat Mohamad yang dikenali sebagai Mat Sabu dengan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng digunakan sepenuhnya oleh PAS untuk menjernihkan kembali hubungan kedua-dua parti PR di negeri itu, yang keruh sejak kebelakangan ini.

"Mohamad dipilih kerana beliau adalah anak jati Pulau Pinang dan terkenal di negeri itu. Pemilihannya juga dapat meneruskan usaha hubungan baik dengan Pakatan Rakyat,” kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali semasa mengumumkan pelantikan Mohamad di Ibu Pejabat PAS pagi tadi.

"Jawatannya sebagai timbalan presiden dapat menyelaraskan kerja di negeri itu.”

Pelantikan pesuruhjaya negeri terletak di bawah bidang kuasa Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Mohamad mula rapat dengan Lim semenjak kedua-dua pemimpin itu ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dalam Operasi Lalang pada tahun 1987.

Ahmad Zahid semasa ucapan penggulungannya di Perhimpunan Agung Umno 2013 mengatakan beliau tidak faham mengapa perwakilan PAS memilih “orang nombor dua” mereka daripada kalangan penganut fahaman Syiah.

Minggu lalu Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendedahkan 10 bukti Mohamad menganut fahaman Syiah yang diantaranya kerana Timbalan Presiden PAS itu mengagumi pemimpin besar Revolusi Iran Ayatollah Ruhullah Musawi al Khomeini.

Bukti-bukti dikemukakan KDN “ditertawakan” oleh pengguna media sosial seperti laman Twitter sehingga #kagum menjadi popular pada hari tersebut.

Ini mendorong KDN mengatakan bukti awal yang mereka dedahkan hanyalah gred B dan masih terdapat bukti gred A dalam simpanan mereka.

Ekoran itu PAS menyifatkan KDN seperti “pembekal telur ayam” apabila agensi itu mengatakan mereka mempunyai bukti gred A dan B berhubung penglibatan Mohamad dengan fahaman Syiah.

Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar, berkata kenyataan KDN mengenai hanya 1,500 rakyat Malaysia menjadi pengikut Syiah membuktikan fahaman itu bukan satu ancaman besar tetapi digunakan untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada kenaikan kos kehidupan.

“Apa bukti gred A, gred B KDN? Macam pembekal telur ayam yang ada gred A, gred B dan Omega 3,” katanya.
Mohamad hari ini mengumumkan beliau akan menyaman Ahmad Zahid kerana menuduhnya Syiah.

Dalam satu sidang media di Ibu Pejabat PAS, Mohamad mengatakan tindakan saman ke atas Ahmad Zahid diambil kerana kenyataan Menteri Dalam Negeri itu mencetuskan fitnah yang didasari niat jahat, menjatuhkan maruah dan integriti.

"Saya menyerahkan kepada panel peguam PAS untuk mengambil tindakan mahkamah ke atas Zahid di atas kenyataan beliau di perhimpunan agung Umno baru-baru ini,” katanya.

"Beliau menuduh saya pemimpin Syiah dan mengaitkan Syiah adalah sesat dan mengancam keselamatan negara," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PAS di Kuala Lumpur, hari ini.

Mohamad yang juga dikenali sebagai Mat Sabu berkata, Ahmad Zahid juga didapati menyalahgunakan kuasa apabila beliau sebagai Menteri Dalam Negeri memberi kuasa kepada Jakim untuk mengambil tindakan ke atas dirinya. – 17 Disember, 2013.

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi