Bahasa

PAS Terengganu letak calon wanita di DUN Kuala Besut

MARANG, 19 April — PAS Terengganu meletakkan seorang calon wanita yang merupakan muka baru untuk bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Pada majlis memperkenalkan calon di sini malam tadi, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yakin dengan kemampuan Napisah Ismail untuk membawa cabaran parti pada pilihan raya umum ke-13 ini berdasarkan pengalamannya yang telah menyertai parti itu sejak 1983.

Napisah, 53, dijangka bertemu calon Barisan Nasional (BN) yang juga penyandang kerusi DUN berkenaan, Dr A Rahman Mokhtar. Pada pilihan raya umum 2008, Dr A Rahman mengalahkan calon PAS, Nik Zawawi Salleh dengan majoriti 2,631 undi.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis itu, Napisah yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS kawasan Besut berkata beliau menghargai kepercayaan pimpinan parti dan pakatan pembangkang memilih beliau sebagai calon.

Kali terakhir PAS Terengganu meletakkan seorang calon wanita untuk bertanding ialah pada pilihan raya umum 1959 di kerusi Parlimen Dungun.

Pada pilihan raya itu calon PAS Khadijah Mohd Sidek mengalahkan Wan Salleh Abdul Kadir mewakili Front Sosialis dan Mohamed Adib Omar daripada Parti Perikatan. – Bernama 

 

Comments

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments