Bahasa

PAS tidak bercadang jadi ‘orang tengah’, lerai perbalahan PKR-DAP Johor

JOHOR BAHARU, 4 April — PAS Johor tidak bercadang menjadi ‘orang tengah’ bagi menyelesaikan perbalahan yang kian serius di antara DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tentang pembahagian kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Pesuruhjayanya Datuk Dr Mahfodz Mohamed menganggap perbalahan yang berlaku di antara kedua-dua parti itu yang bernaung di bawah Pakatan Pembangkang adalah ‘kecil’ dan tidak memerlukan campur tangan pihak ketiga.

“Perbalahan itu (di antara DAP dan PKR Johor) adalah kecil dan tidak serius. Tiada keperluan untuk PAS Johor menjadi orang tengah kerana kedua-dua mereka boleh menyelesaikannya sesama sendiri,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau juga berkeyakinan perbalahan di antara DAP dan PKR Johor itu tidak akan menjejaskan persiapan dan kerjasama pembangkang dalam menghadapi PRU-13 di negeri kubu kuat Barisan Nasional (BN) itu.

Mahfodz yang juga Timbalan Ketua Majlis Syura PAS berkata, PKR dan DAP telah menjalin kerjasama sejak sekian lama dan ia akan berterusan untuk jangka masa panjang serta tidak tergugat berikutan timbulnya isu-isu kecil.

Selain berebutkan kerusi panas Parlimen Gelang Patah, PKR Johor dan DAP juga terlibat di dalam ‘perang mulut’ berkenaan calon parti pembangkang mana yang berhak bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Jaya.

PKR Johor dan DAP, telah menamakan calon masing-masing bagi kerusi DUN Johor Jaya, manakala bagi Parlimen Gelang Patah pula, pakatan memutuskan untuk meletakkan Penasihat DAP Lim Kit Siang sebagai calon mereka.

Tindakan pakatan pembangkang menamakan Kit Siang sebagai calon di Gelang Patah telah menyebabkan Pengerusi PKR Johor Datuk Chua Jui Meng kecewa dan mengambil ‘cuti panjang’ daripada aktiviti parti.

Kedua-dua parti itu turut bertelagah tentang calon di kerusi Parlimen Segamat dan DUN Tangkak, sambil pucuk pimpinan PKR Johor memberi amaran mereka tidak akan berkompromi lagi dalam isu pembahagian kerusi.

Sementara itu Mahfodz berkata, PAS Johor akan meletakkan calonnya di lapan kerusi Parlimen dan mungkin 29 atau 30 kerusi DUN pada PRU-13 tidak lama lagi.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut tentang di mana Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub akan bertanding, walaupun terdapat laporan sebelum ini mengatakan pemimpin Pas itu akan bertanding di Parlimen Pulai dan DUN Nusajaya. — Bernama

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.