Bahasa

PAS: Umno semakin rapuh, kerana itu doa ditakuti

KUALA LUMPUR, 22 Nov — Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan Umno sebagai sebuah parti rapuh menyebabkan doa yang dibaca oleh Ustaz Nik Razi ditakuti dan menjadikannya sebagai isu untuk menyerang Pakatan Rakyat (PR).

Baru-baru ini, doa yang dibaca oleh Ustaz Nik Razi dipertikaikan oleh ramai pihak terutamanya daripada Umno yang mengecam hebat tindakan tersebut.

"Namun oleh kerana Umno semakin rapuh, menyebabkan doa pun ditakuti.

"Sepatutnya kalau Umno rasa tak betul, mereka doalah pula," kata ketua penerangan PAS pusat dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim (gambar) juga membidas sikap media pro-kerajaan yang banyak membuat liputan melibatkan isu doa tersebut tetapi bukannya dasar parti semasa Muktamar PAS ke-58 lalu.

"Isu yang hangat dimainkan media adalah sesuatu yang bukan dasar parti.

"Ucapan perwakilan, doa oleh seorang imam, dan pertikaian jawatan PM kesemuanya bukanlah dasar parti," tambah Tuan Ibrahim lagi.

Tuan Ibrahim turut mengulangi pendirian doa ke atas parti kerajaan tersebut dan dengan berkata bukanlah satu kesalahan.

"Harus ingat Umno bukanlah parti Islam dan terdapat pelbagai tindakan parti Umno yang terang-terangan bertentangan dengan peraturan dan ajaran Islam," terang beliau lagi.

Susulan tindakan bacaan doa tersebut, Umno Kelantan telah membuat dua laporan polid berhubung tindakan pemimpin PAS membaca doa tersebut untuk menghancurkan Umno dan tuduhan bahawa parti tersebut murtad.

Mereka meminta polis menyiasat dan mengambil tindakan terhadap PAS kerana menyifatkan kenyataan itu mengguris hati orang Melayu - Islam.

Ketua Wanita Umno Pengkalan Chepa, Zarina Md Eusoffe mengetuai kira-kira 30 anggota pergerakan itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Baharu.

"Hati kami tersentuh. Kami orang Melayu beragama Islam dan tuduhan ini sangat  melampau yang menyerlahkan sikap sebenar Pas dan Mursidul Amnya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat," katanya.

Turut menyuarakan kecaman adalah Timbalan Pengerusi Umno Kedah Datuk Mukhriz Mahathir yang mengatakan beliau tidak terkejut dengan laporan berhubung doa PAS mahu menghancurkan Umno kerana mereka sering mengadakan solat Hajat dan berdoa seumpamanya menjelang pilihan raya umum (PRU).

“Mereka sering melakukannya apabila ada PRU atau pilihan raya kecil (PRK) beberapa hari sebelum hari membuang undi. Bukan setakat membuat solat Hajat untuk kemenangan, tetapi kadang kala berdoa BN hancur.

“Bagaimanapun, hajat mereka tidak kesampaian kerana separuh PRK dimenangi BN. Terpulang kepada setiap orang untuk mentafsir sendiri apa maksudnya,” katanya.

 

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.