PAS yakin tawan Perlis kerana pepecahan Umno
KUALA LUMPUR, 19 Sept — PAS yakin dapat menawan Perlis dalam pilihan raya umum (PRU) ke 13 berikutan pepecahan yang teruk berlaku dalam Umno negeri tersebut menurut pesuruhjaya PAS negeri Hashim Jasin.
Menurut Hashim, beliau diberitahu oleh bekas menteri besar Datuk Seri Shahidan Kassim bahawa Umno Perlis telah berpecah kepada empat kumpulan.
“Ada empat kumpulan, kalau berdasarkan kata Shahidan itu, iaitu diketuai oleh Shahidan sendiri, MB Datuk Seri Mohamad Isa Sabu, adinda Tuanku Sultan Adun Pauh Syed Razlan dan bekas menteri Datuk Azmi Khalid.
“Dalam sidang DUN Perlis baru-baru ini, Shahidan bantai MB, bantai Exco.
“Saya mencelah, nampaknya Umno pecah dua.
“Dia (Shahidan) jawab, dok bukan dua...tiga.
“Baru-baru ni, saya tanya lagi...bagaimana doh jadi tiga.
“Dia kata lagi...dok, empat,” kata Hashim dalam satu temubual eksklusif bersama Harakahdaily.
Menurut Hashim, pakatan pembangkang sudah bersedia untuk mengambil alih negeri yang kaya dengan penanaman tebu itu dan telahpun menubuhkan kabinet bayangan.
“Kita telah gariskan kabinet bayangan. Kalau diizinkan kita kemenangan kita dah sedia.
“Kita juga yakin, kalau menang, saya yakin bahawa PAS mesti menguasai kerajaan dalam bentuk apa aktivitipun.
“Parti yang menguasai kerajaan,” katanya.
Hashim turut menjelaskan, selain daripada pepecahan Umno Perlis mampu ditawan oleh kerana terdapat perubahan dalam sokongan masyarakat Cina terhadap pakatan pembangkang itu yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
“Perubahannya sangat menarik di Perlis ini. Masyarakat Cina cenderung kepada Pakatan sekarang.
“Misalnya di Sanglang, kawasan saya bertanding sebelum ini. Dulu masa PRU 12, saya dapat 30 undi sahaja dari 800 pengundi Cina yang ada.
“Sekarang ini, saya rasa BN akan dapat 30 undi itu dan selebihnya calon PAS akan dapat.
“Saya kira antara 70 hingga 80 peratus dari mereka menyokong Pakatan dalam pilihan raya akan datang ini.
“Dan yang menariknya, ini kali pertama fenomena ini berlaku di negeri ini.”
Menurut pesuruhjaya PAS Perlis itu lagi, pembahagian kerusi di kalangan Pakatan Rakyat (PR) negeri tersebut sudah selesai sejak tahun lepas.
“Kita telah berbincang ketiga-tiga parti dan selesai pada Mei tahun lepas lagi.
“Ia kemudiannya ditandatangani oleh wakil ketiga-tiga parti. Saya telah wakili PAS. Kita kemudian telah hantar kepada Pusat.”
Walaupun yakin PR mampu menawan Perlis, Hashim yang merupakan veteran PAS dalam politik Perlis telah membuat keputusan untuk tidak bertanding lagi dalam PRU akan datang.
“Saya nak maklumlah, dalam pilihan raya akan datang ini saya tidak bertanding dah. Ini Ustaz Hadi (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) tahu dah.
“Saya dah cari ganti saya dan dah ada dah (untuk DUN Sanglang) dan ada dalam Dewan Harian.
“Saya pun dah tolong perkenal dia,” katanya lagi dalam satu temubual eksklusif bersama Harakahdaily yang disiarkan semalam.




