Bahasa

Pasca-Bersih 2.0: Pemuda PAS mula kempen kuning tema Aidilfitri

KUALA LUMPUR, 10 Julai — Susulan perhimpunan Bersih 2.0 dan tindakan Putrajaya mengharamkan kemeja-T warna kuning tertera lapan tuntutan pembaharuan pilihan raya, Pemuda PAS merancang memulakan kempen warga kuning ketika sambutan Aidilfitri akhir bulan depan.

Bulan Ramadan bermula awal Ogos dan disusuli dengan sambutan Aidilfitri sebulan kemudian.

“Saya juga memberi perhatian kepada cadangan sahabat saya (bekas mufti Perlis) Dr Mohd Asri Zainal Abidin agar dianjurkan Minggu Bersih dengan menghidupkan elemen perjuangan Bersih 2.0 sepanjang minggu dalam pelbagai aktiviti harian sama ada secara rasmi atau tidak.

“Cuma saya menambah agar momentum Bersih 2.0 ini dikekalkan sehingga lapan tuntutan menjadi kenyataan,” kata Ketua Dewan Pemuda PAS Nasrudin Hassan dalam satu kenyataan hari ini.

Kata beliau, momentum itu boleh diterjemah atau direalisasikan oleh rakyat dalam apa jua aktiviti dan kreativiti mereka.

“Saya mengusulkan kepada semua rakyat Malaysia khasnya anak-anak muda negara ini sebagai salah satu usaha untuk menghidupkan elemen perjuangan Bersih 2.0 agar menjadikan tema pakaian dan perhiasan sempena sambutan Aidilfitri tahun ini ialah warna kuning... tidak mengapalah tema kuning itu menampilkan warna kuning air, kuning emas, kuning bercorak, kuning bersulam, kuning berjalur, kuning berpetak, kuning sedondon, kuning berbatik dan sebagainya, asalkan temanya kuning,” katanya.

Bersih 2.0 mengadakan perhimpunan mereka di sebalik halangan dan amaran pihak berkuasa di ibu negara.

Berdasarkan kenyataan Jumaat lalu, Kementerian Dalam Negeri tidak membenarkan perhimpunan Bersih 2.0 diadakan di Stadium Merdeka kecuali di mana-mana stadium di luar ibu negara.

Sekretariat Bersih 2.0 memutuskan untuk membatalkan perhimpunan di jalanan sebaliknya berhimpun d stadium susulan pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong dan janji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa pentadbirannya bersedia jika perhimpunan diadakan di stadium.

Selain mengisytiharkan segala terbitan berkaitan Bersih 2.0 sebagai haram termasuk kemeja-T berwarna kuning, Putrajaya juga mengumumkan Bersih 2.0 sebagai pertubuhan haram.

Penganjur perhimpunan Bersih 2.0 mendakwa kira-kira 50,000 menyertai perhimpunan semalam tetapi dinafikan oleh Ketua Polis Negara bahawa hanya sekitar 6,000 berhimpun di pusat bandar raya Kuala Lumpur.

Dalam kenyataannya, Nasrudin, salah seorang daripada 91 individu yang dilarang memasuki Kuala Lumpur semalam berkata, biarpun tanpa baju Bersih 2.0 berwarna kuning yang tertera senarai lapan tuntutan, “namun kandungan tuntutan itu telah menjadi slogan dan laungan para peserta Bersih 2.0 sepanjang himpunan berlangsung di bawah siraman gas pemedih mata.”

“Tidak hilang seri himpunan Bersih 2.0 tanpa baju rasmi himpunan kerana fokus adalah kepada senarai lapan tuntutan yang dikemukakan, bukan pada warna bajunya semata-mata,” katanya.

Nasrudin yang menyifatkan perhimpunan mereka semalam berjaya berkata peserta tidak memakai baju Bersih 2.0 kerana mematuhi ketetapan penganjur yang memberi kebebasan kepada peserta himpunan untuk tidak memakai baju rasmi ekoran tekanan menggila dari pihak pemerintah.

“Biarpun sekatan dikenakan dari segenap penjuru alam beserta ugutan, ancaman, tekanan, fitnah, tohmahan, tangkapan dan halangan, ternyata tidak mampu menghalang rakyat dari seluruh negara mewakili keseluruhan rakyat yang prihatin memasuki ibu kota untuk menjayakan himpunan Bersih 2.0.

“Pastinya mereka kehairanan, setelah sedemikian rupa tindakan mereka ke atas Bersih 2.0 termasuklah menggunakan televisyen, radio dan iklan sebagai propoganda membusuk dan mengotorkan imej Bersih 2.0, namun Bersih 2.0 tetap bersih dan himpunannya tetap mencapai matlamat serta objektif penganjurannya,” kata beliau lagi.

 

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.