ANALISIS, 7 Okt — Dalam lima jam Rang Undang-undang Kerja (Pindaan) 2011 telah diluluskan malam tadi. Beberapa pemimpin Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang dihubungi malam tadi seolah-olah diselubungi kejutan dengan perkembangan tersebut.
Pun begitu, kehangatan debat mengenai rang undang-undang itu tidak hanya berakhir di Dewan Rakyat. Sebaliknya, beberapa wakil rakyat meneruskan perbahasan tidak formal mereka menerusi Twitter lewat malam tadi. Mereka berbalas mesej mempertahankan pendirian Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR).

Mesej Abdul Rahman antara lain berbunyi, “kekhuatiran ahli-ahli Parlimen PR ialah (sistem kontraktor untuk tenaga kerja) CFL akan menjadi-jadi setelah RUU ini diluluskan. BN dah menjelaskan banyak kali, bukan begitu?”
“Kerajaan telah berbincang dengan MTUC sebanyak 18 kali. (Pertubuhan Buruh Sedunia) ILO telah mengesyorkan perlindungan bagi (pekerja-pekerja di bawah sistem) kontraktor. RUU ini digerakkan oleh NUPW. Jadi?” kata Abdul Rahman dengan merujuk kepada Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Perladangan, salah satu gabungan MTUC tetapi kini bukan lagi anggota berstatus menikmati faedah.
Menerusi mesej seterusnya wakil rakyat dari Sabah itu menegaskan, “PR keliru. RUU ini bukan membahaskan baik buruk (sistem) kontraktor bagi tenaga kerja. Kita kena melindungi pekerja sekarang! Tiada lagi penganiayaan!”
Mariah pula antara lain berkata, “kalau tak debat sekarang bila lagi YB? Dengan meluluskannya, kita mengesahkan dan menerima (sistem) kontraktor bagi tenaga kerja, akan berakar selama-lamanya.”
Malah katanya, “jika ia dilakukan dengan betul dari peringkat awal, tak payah tangguh. Bukan semua RUU atau pindaan Pakatan tak setuju. Sila objektif YB.”
Seterusnya Dr Siti Mariah berkata, “bantah fasal mengenai kontraktor pekerja dan juga gangguan seksual. Gangguan seksual perlu ada akta tersndiri.”
“Tak semua fasal dibantah, tapi BN tak akan mahu meminda sedikit pun. Kalau pinda yang dibantah, tak de la kena tolak semua RUU ni,” katanya lagi.
Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang Kerja (Pindaan) malam tadi selepas dibahaskan kira-kira lima jam.
Pendirian MTUC ekoran perkembangan semalam dijangka menarik perhatian ketika pentadbiran Najib disebut-sebut akan memanggil pilihan raya umum ke-13 bila-bila masa dari sekarang. Tetapi ramai menjangkakan selepas bulan Disember ini.
MTUC dijangka menggerakkan langkah susulan mereka - mengadakan piket di seluruh negara selepas Putrajaya meneruskan pindaan ke atas Akta Kerja 1955 semalam - beberapa jam setelah beberapa pemimpin kongres itu mengadakan perbincangan dengan Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S Subramaniam di Parlimen.
Majlis am MTUC akan membuat pendirian rasmi mereka Isnin ini. Petang ini jawatankuasa kerja MTUC bersidang menjelang pertemuan Isnin depan.
“Bermakna menteri seolah-olah mengisytiharkan perang ke atas pekerja-pekerja Malaysia. Langkah kementerian meneruskan pindaan ini bermakna membawa kepada kemudaratan ke atas soal kebajikan dan perlindungan kepada pekerja,” kata anggota jawatankuasa eksekutif MTUC Bruno Pereira kepada The Malaysian Insider.
Selepas ditarik balik dua kali kata beliau, “kami sebenarnya telah menjangkakan bahawa sudah ada persefahaman . . . malangnya mereka datang dengan kandungan pindaan yang sama, langsung tiada perubahan.”
“Jika seseorang menarik balik bermakna ada niat untuk berbincang, tetapi kini menunjukkan mereka tiada hasrat untuk mendengar suara kami,” kata pemimpin kesatuan sektor perindustrian.
Rata-rata pemimpin kesatuan tidak gembira dengan perkembangan semalam ketika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bersiap sedia untuk mengumumkan Bajet 2012 petang ini — yang dilihat sebagai belanjawan pilihan raya.
Pereira juga memberitahu The Malaysian Insider bahawa tindakan tidak mempedulikan pekerja-pekerja akan membawa kesan buruk dalam hubungan kerajaan dan para pekerja.
Kerajaan pusat BN cuba membawa beberapa pembaharuan sejak kekalahan teruk dalam pilihan raya umum 2008. Ia kehilangan status majoriti dua pertiga di Parlimen pada 8 Mac 2008.
Misalnya, pada sidang Parlimen lalu, pentadbiran Najib telah meluluskan undang-undang bagi memperkenalkan dasar gaji minimum. Gaji minimum dijangka dilaksanakan akhir tahun ini. Selain itu, Putrajaya juga mahu menaikkan umur persaraan pekerja-pekerja swasta daripada 55 tahun kepada 60 tahun.
Dalam Bajet 2012 yang akan dibentangkan petang ini, Najib yang juga Menteri Kewangan dijangka mengumumkan sistem saraan baru dengan gaji satu lapis bagi 1.3 juta kakitangan awam dan bonus setengah bulan, tambahan kepada yang diumumkan Ogos lalu. Malah kerajaan juga dijangka mengumumkan langkah melanjutkan usia persaraan kakitangan awam daripada 58 kepada 60 tahun.
Sektor swasta juga terus meminta lebih banyak daripada kerajaan. Bulan lalu, MTUC meminta agar kerajaan menyediakan gaji minimum RM1,500 manakala pekerja-pekerja Maybank mendakwa Najib tidak melakukan sesuatu berhubung tuntutan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Perbankan (NUBE) dalam usaha mendapatkan bonus bersandarkan prestasi melibatkan satu tempoh selama 80 bulan. NUBE juga mempersoalkan penubuhan kesatuan dalaman sedangkan ia sudah wujud di Maybank untuk mewakili kategori pekerja yang sama.
Di pihak lain, pekerja-pekerja MAS pula mahu mengadakan piket awal Disember ini jika tuntutan mereka, yang berkaitan dengan perjanjian kerjasama antara MAS dan AirAsia tidak diselesaikan dalam dua bulan ini.
“Pilihan raya menjelang tiba,” kata Dr Subramaniam apabila ditanya The Malaysian Insider mengapa suara kesatuan membuat tuntutan semakin lantang.
Beliau enggan mengulas lanjut atas alasan tidak mahu mencetuskan lebih banyak masalah.
Barisan pembangkang juga cuba memikat sokongan para pekerja. Dalam bajet alternatif yang diumumkan Selasa lalu, PR mengumumkan gaji minimum mereka akan bermula dari paras RM1,100.
Pereira berkata salah satu sebab golongan pekerja mengetepikan sokongan mereka kepada BN tiga tahun lalu adalah kerana pentadbiran Abdullah mengabaikan kebajikan dan kepentingan pekerja. Antaranya pindaan ke atas Akta Perhubungan Perusahaan pada 2007 yang mengehadkan pampasan maksimum hanya 24 bulan.
“Sejak 2008, kita ada lebih ramai ahli Parlimen yang peka kepentingan pekerja dan sentiasa memperingatkan kami apabila ada undang-undang berkaitan dengan undang-undang buruh,” katanya lagi.
Bagaimanapun Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) Shamsuddin Bardan memberi amaran agar kerajaan tidak terlalu tunduk kepada permintaan kesatuan dan pekerja.
“Ya, setiap satu majikan ada beratus-ratus pekerja. Jika ekonomi berhadapan dengan masalah, kita semua akan berhadapan dengan masalah,” katanya.






