Bahasa

PDRM sahkan Wan Muhammad Azri sudah tidak tersenarai sebagai pengundi pos

Oleh Mohd Farhan Darwis
March 28, 2013

KUALA LUMPUR, 28 Mac — Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengesahkan status lelaki yang bernama Wan Muhammad Azri Wan Deris tidak lagi tersenarai sebagai pengundi pos dalam pasukan tersebut kerana telah dibuang kerja pada September 2012.

Pengesahan itu dibuat berikutan pendedahan yang dibuat Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli individu yang didakwanya itu sebagai blogger pro Umno, “Papa Gomo” yang merupakan pengundi hantu menggunakan kad pengenalan polis dan awam untuk mengundi dalam pilihan raya umum.

“Anggota ini telah dibuang kerja berkuatkuasa 6 September 2012. Sehubungan itu anggota ini tidak lagi tersenarai dalam rekod PDRM sebagai pengundi polis,” kata kenyataan PDRM yang dimuat naik di laman Facebook pasukan keselamatan tersebut.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengarah Pengurusan PDRM, Datuk Mortadza Nazarene itu juga menjelaskan perkara itu telah dijelaskan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini dan tidak lagi timbul isu Wan Muhammad Azri sebagi pengundi hantu.

“Oleh yang demikian isu pendaftaran sebagai seorag anggota polis untuk undi pos dan pada masa sama sebagai pengundi awam oleh anggota ini adalah tidak timbul ... ini sekaligus menyangkal dakwaan mana-mana pihak bahawa perkara ini dibuat untuk mewujudkan senarai pengundi di dua tempat tyang berbeza,” kata kenyataan tersebut.

Rafizi sebelum ini mendedahkan penulis blog pro-Umno yang disaman Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana didakwa menyiarkan video seks palsu merupakan seorang bekas anggota polis yang terlibat jenayah rasuah dan didakwa sebagai “pengundi hantu” kerana mendaftar untuk mengundi di dua tempat berasingan.

“Siasatan menunjukkan individu bernama Wan Muhammad Azri Wan Deris ini adalah bekas polis trafik yang berpangkat koperal yang telah dijatuhkan hukuman penjara kerana bersalah memeras ugut seorang yang disyaki penagih dadah untuk mendapat suapan rasuah,” kata Rafizi.

PDRM dalam kenyataan hari ini bagaimanapun tidak menyatakan kesalahan yang dilakukan bekas pegawai polis berpangkat konstabel berkenaan.

“Anggota ini berpangkat konstabel dan pernah bertugas di Ibu Pejabat Polis Ampang Jaya mulai 1 Januari 2002 hingga 30 November 2004 apabila ditangkap atas kesalahan jenayah,” kata kenyataan PDRM itu lagi.

Dalam sidang medianya sebelum ini, Rafizi dengan menggunakan kad pengenalan polis Wan Muhammad Azri dalam pengkalan data SPRM dan menggunakan nama kad pengenalan biasa Papa Gomo, PKR mendapati penulis blog tersebut mendaftar sebagai pengundi di dua kawasan ― Ampang dan Wangsa Maju.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof, bagaimanapun hujung minggu lalu menegaskan pengundi yang memiliki lebih daripada satu nombor pendaftaran dalam daftar pemilih, adalah mustahil untuk mengundi lebih daripada sekali.

Hal ini kerana jelas Abdul Aziz, walaupun mana-mana individu mempunyai lebih daripada satu pendaftaran dalam daftar pemilih seperti Wan Muhammad Azri Wan Deris atau didakwa PKR sebagai “Papa Gomo”, mereka hanya akan dapat mengundi sekali kerana SPR telah melaksanakan penggunaan dakwat kekal dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) kali ini.

“Kalau pun SPR terlepas (pandang) ... seseorang itu hanya boleh mengundi sekali, sebab dakwat kekal.”

Wan Muhammad Azri walau bagaimanapun telah menafikan dirinya adalah blogger pro-Umno seperti yang didakwa oleh PKR, sebaliknya menegaskan beliau adalah Ketua Eksekutif KL POS Media & Production Sdn Bhd.

Malah, beliau turut menafikan dirinya sebagai pengundi hantu kerana beliau belum pernah menjadi pengundi tidak pernah mengundi sebelum ini.

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi