Bahasa

Peguam enggan ulas isu SD kedua Bala

January 10, 2013

KUALA LUMPUR, 10 Jan — Peguam Tan Sri Cecil Abraham yang didakwa terlibat dengan akuan bersumpah kedua bekas penyiasat persendirian P Balasubramian (gambar) tidak mahu mengulas tentang perkara itu.

“Tiada komen mengenai apa saja,” katanya kepada portal berita Malaysiakini.

Anaknya Sunil Abraham yang cuba disoal oleh wartawan portal berkenaan turut mendiamkan diri.

Presiden Majlis Peguam, Lim Chee Wee dalam satu kenyataan minggu lalu menyatakan pihaknya akan bertindak tanpa memihak atau sekatan tidak mengira siapa personaliti tersebut atau dalam apa jua keadaan.

Ketua Panel Penilaian Operasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Hadenan Abdul Jalil sebelum ini berkata Abraham tidak terlibat dengan keputusan panel berkenaan untuk menghentikan siasatan ke atas Balasubramaniam.

Dalam tulisan di blognya sebelum ini, aktivis Haris Ibrahim menamakan Abraham sebagai peguam yang menyediakan draf SD kedua Balasubramaniam SD kedua, bertarikh sehari selepas SD pertama pada 3 Julai 2008, melibatkan pembunuhan model Mongolia Altantuya Shaariibuu pada 2006, yang mana dua polis komando elit telah disabitkan kesalahan dan menghadapi hukuman mati.

Haris selepas itu mencadangkan Abraham supaya mengambil tindakan undang-undang untuk membersihkan namanya selepas beliau mendedahkan nama peguam tersebut sebagai salah seorang yang menyediakan akuan bersumpah (SD) kedua bagi Balasubramaniam.

Kontroversi menyelubungi SD tersebut timbul semula selepas usahawan karpet, Deepak baru-baru ini mengakui bahawa dia terlibat mendapatkan Balasubramaniam membuat SD kedua termasuk mencari dua peguam merangka pengakuan baru.

Identiti dua peguam tidak pernah dikenali sehinggalah Deepak membuat pendedahan tersebut.

Namun begitu, Haris meragui kenyataan Majlis Peguam tersebut memandangkan mereka hanya “mengulangi” pengumuman sama walaupun selepas peguam membuat satu aduan rasmi mengenai hal tersebut.

“Adakah mereka akan menyiasat? Entahlah, saya tidak tahu.

“Mereka hanya mengeluarkan kenyataan sama seperti bulan lepas. Mereka boleh membuat kenyataan yang sama pada bulan Januari. Mereka boleh membuat kenyataan yang sama Februari,” katanya lagi.

Peguam Americk Singh Sidhu selaku wakil bekas penyiasat tersebut juga mencadangkan perkara sama pada 1 Januari bahawa Majlis Peguam “sedikit teragak-agak dalam menyiasat perkara ini”, sambil menegaskan badan perundangan tersebut tidak perlu menunggu aduan yang lain dan mereka boleh menubuhkan inkuiri sendiri untuk menyiasat.

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi