Bahasa

Pejuang kemerdekaan Janaky Athi Nahappan meninggal dunia

Puan Sri Janaky Athi Nahappan meninggal dunia semalam. Gambar daripada wikipedia.org.Puan Sri Janaky Athi Nahappan meninggal dunia semalam. Gambar daripada wikipedia.org.Pejuang kemerdekaan negara Puan Sri Janaky Athi Nahappan meninggal dunia di kediamannya di Kuala Lumpur semalam akibat pneumonia pada usia 89 tahun.

Anaknya Datuk Athi Ishwar Nahappan, 64, berkata ibunya menghidap pneumonia sejak September lalu.

"Ibu meninggal dunia dalam tidur dan disedari oleh adik saya Gouri Preece, 61, yang menjengah ke dalam bilik ibu pada 10.15 pagi tadi," katanya ketika ditemui, malam tadi.

Beliau yang menetap di Singapura dan kembali untuk bersama ibunya sejak minggu lalu, turut memberitahu hari ini adalah ulang tahun ke-38 kematian bapanya Tan Sri Athi Nahappan yang merupakan bekas timbalan presiden MIC dan juga bekas menteri.

Janaky, bekas senator dan antara pengasas MIC, meninggalkan seorang anak lelaki dan dua anak perempuan, lapan cucu serta seorang cicit.

Athi Ishwar berkata, upacara penghormatan terakhir akan diadakan Ahad ini di kediaman keluarga di 60A, Jalan Kuantan, Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur sebelum jasad dibawa ke Krematorium Cheras pada 10.30 pagi.

Janaky dilahirkan pada 25 Feb 1925 di Kuala Lumpur dan pada usia 17 tahun beliau ke India untuk menyertai Tentera Nasional India (INA) dan dinaikkan pangkat kapten serta menjadi penolong pegawai memerintah Rhani daripada Rejimen Jhansi iaitu satu-satunya rejimen wanita dalam INA.

Ketika Perang Dunia Kedua beliau berjuang menentang British di sempadan Burma-India bagi menuntut kemerdekaan India.

Selepas perang, beliau kembali ke Malaya dan bersama-sama veteran INA mengasaskan parti politik India pertama MIC di bawah kepimpinan John Thivy pada 1946.

Beliau pernah meneraju Wanita MIC kebangsaan selain menjadi pengerusi MIC Batu selain anggota jawatankuasa kerja pusat (CWC).

Pada 1948 beliau bertemu Athi Nahappan yang ketika itu bekerja sebagai wartawan, dan mereka berkahwin setahun kemudian.

Janaky aktif dalam pelbagai pertubuhan sosial dan merupakan bekas pesuruhjaya Persatuan Pandu Puteri Selangor.

Beliau juga terbabit dalam Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) dan pelbagai pertubuhan kebajikan lain.

Mendiang turut menerima pelbagai anugerah dan pengiktirafan di peringkat kebangsaan serta antarabangsa dan pada tahun 2000 menjadi wanita India pertama yang berasal dari luar India menerima anugerah tertinggi negara berkenaan iaitu Padma Shri, sebagai mengiktiraf kerja kebajikannya dan sumbangan dalam INA. – Bernama, 10 Mei, 2014.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.