PEKEMA: Longgarkan syarat baru pinjaman sewa beli kereta
KOTA KINABALU, 14 Mei — Presiden Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) Datuk Zainuddin Abdul Rahman telah merayu kepada kerajaan Persekutuan, terutama Bank Negara Malaysia (BNM) supaya melonggarkan syarat baru pinjaman sewa beli kereta yang telah menjejaskan jualan kereta import dan kereta yang dipasang di negara ini.
“Kita jangka industri automatif lembab tahun ini kerana dasar sekatan pinjaman yang begitu ketat oleh BNM. Kita juga jangka pasaran kereta (import) akan menurun sekitar 30 peratus untuk tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis makan malam di sini pada malam tadi.
Zainuddin telah berkata mengikut statisik jumlah kereta yang diimport tahun lepas mencecah angka 610,000 manakala jumlah kereta import yang tidak dapat dijual ialah sekitar 15,000.
“Walaupun kereta import ada pasaran sendiri, namun oleh kerana harga melebihi RM100,000, kita jangkakan kita terima tamparan yang lebih tinggi daripada kereta tempatan.
“Sebab itu, kita mohon kerajaan atau BNM supaya melonggarkan sikit syarat untuk pinjaman kereta,” katanya.
Tentang jualan kereta import di negara ini, Zainuddin berkata bahawa nilai jualan tidak statik oleh kerana harga kereta import berbeza-beza.
Bagaimana pun, katanya jumlah cukai jualan yang dibayar oleh pengimport kereta tahun lepas ialah hampir RM1 bilion. — Bernama




