Bahasa

Pekerja Lynas sambut keputusan mahkamah dengan linangan air mata gembira

November 08, 2012

KUANTAN, 8 Nov — Tiada ungkapan yang mampu dilafazkan sebilangan besar pekerja kilang Lynas Advance Material Plant (Lynas), Gebeng dekat sini selain mengalirkan air mata gembira tanda kesyukuran selepas Mahkamah Tinggi memutuskan kilang tersebut dibenarkan beroperasi hari ini.

Hakim Datuk Mariana Yahya dalam keputusannya hari ini menolak permohonan injunksi interim ke atas Lesen Operasi Sementara (TOL) yang diberikan kepada Lynas sebelum ini, oleh tiga penduduk Kuantan sekaligus membolehkan Lynas memulakan operasinya setelah digantung sementara waktu ekoran injunksi berkenaan.

Kumpulan yang terdiri daripada kira-kira 500 orang itu berkumpul di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuantan di sini sejak awal pagi dan laungan takbir bergema sejurus seorang wakil memberi perkhabaran gembira tersebut.

Suasana di kompleks tersebut menjadi sayu seketika apabila ada di kalangan mereka mula menangis dan manadah tangan berdoa tanda bersyukur di atas ‘kemenangan’ kecil tersebut.

Dengan memakai pakaian seragam berwarna kuning manakala penyokong pula memakai baju berwarna biru muda, mereka turut membawa kain rentang tertulis ‘jangan kacau periuk nasi kami’, ‘siapa nak bagi anak kami makan’, ‘hentikan fitnah terhadap Lynas’, ‘saya memang sayang Lynas’ dan ‘Lynas Kuantan bakal Pusat Teknologi Hijau Negara’.

Keputusan itu bagaimana pun disambut dengan keadaan yang berbeza oleh pihak anti-Lynas yang hanya dianggarkan sekitar 200 orang sahaja hadir.

Kumpulan anti-Lynas seperti Save Malaysia Stop Lynas (SMSL) yang sebelum ini begitu ghairah hadir ke mahkamah bagi mengikuti kes berkenaan seperti tidak dapat menerima kenyataan apabila beredar meninggalkan mahkamah sebaik sahaja mengetahui permohonan mereka ditolak.

Dalam pada itu, Naib Presiden Lynas Corporation Datuk Marshal Ahmad berkata kepada pemberita, beliau bersyukur dengan keputusan mahkamah hari ini kerana kesusahan yang dialami oleh pihaknya sejak sekian lama berakhir.

“Kami sekarang akan menumpukan segala usaha untuk memulakan operasi kilang secepat mungkin kerana ia adalah pelaburan yang terbesar. Mudah-mudahan dengan keputusan ini pelabur-pelabur asing akan kembali yakin dan melabur di Malaysia yang kita kasihi,” katanya.

Beliau juga berharap dengan keputusan itu segala tohmahan dan fitnah yang dilemparkan ke atas Lynas dapat dihentikan segera.

“Saya juga ingin menjemput semua pihak termasuk kumpulan anti-Lynas untuk datang sendiri ke kilang kami dan membawa pakar masing-masing supaya mendapat fakta yang betul,” katanya.

Seorang pekerja, Muhammad Syafiq Sukri, 24, berkata kebenaran telah terbukti dengan keputusan mahkamah hari ini dan berharap yang menentang dapat berhenti daripada terus menabur fitnah ke atas ‘periuk nasi’ beliau dan rakan-rakan sekerja yang lain. — Bernama

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi